Sinar Harian
SHAH ALAM – Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan masih berada di peringkat perbincangan susulan beberapa isu dan pertikaian yang timbul berkaitan kedudukan berkenaan.Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini pihaknya tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas perkenan baginda mengekalkan Aminuddin untuk terus menerajui pentadbiran negeri.Menurutnya, perkara itu bagaimanapun masih dalam penelitian kerana melibatkan beberapa isu yang perlu diselesaikan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta adat Negeri Sembilan."Hal ini tidak boleh diputuskan secara sewenang-wenangnya kerana ia turut membabitkan struktur adat termasuk peranan Undang dan institusi diraja negeri."Keabsahan jawatan Menteri Besar dan kestabilan kerajaan negeri hanya dapat dipastikan melalui proses yang termaktub dalam perlembagaan serta adat," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara 'musyawarah' melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar."Semua pihak perlu bekerjasama untuk menyelesaikan isu atau pertikaian yang berlaku," ujar beliau.Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.Pentadbiran Negeri Sembilan yang diterajui Aminuddin dengan komposisi kerusi stabil hasil gabungan PH dan BN pada PRN lalu.Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan penarikan sokongan tersebut.Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu yang mengisytiharkan penurunan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Go to News Site