Collector
UPTM lancar EMP, pacu lonjakan tenaga profesional negara | Collector
UPTM lancar EMP, pacu lonjakan tenaga profesional negara
Sinar Harian

UPTM lancar EMP, pacu lonjakan tenaga profesional negara

SHAH ALAM - Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengorak langkah baharu dengan melancarkan Executive Management Programme (EMP), inisiatif strategik yang memperkasa pembangunan kepimpinan dan bakat profesional negara.Unit Sekretariat dan Komunikasi Korporat UPTM berkata, inisiatif itu juga dijayakan selaras keperluan industri dan landskap ekonomi global yang semakin dinamik.Menurut universiti tersebut, EMP yang merupakan cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai langkah proaktif untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.Selain itu, katanya, ia bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, kompetitif serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan."Dalam konteks ini, UPTM dilihat peneraju dan 'game changer' iaitu membangunkan ekosistem bakat negara serta berperanan sebagai 'focal point' kepada industri melalui pelaksanaan program berimpak tinggi."Diperkenalkan dengan dua komponen utama iaitu 'EMP Protege' dan 'EMP Professional' yang disesuaikan mengikut tahap pengalaman serta keperluan peserta," katanya dalam kenyataan.Majlis pelancaran EMP disempurnakan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sempena sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.EMP Protege memberi tumpuan kepada graduan baharu dan pemegang ijazah sarjana muda, dengan penekanan terhadap pembangunan kemahiran praktikal yang menjadi keutamaan majikan masa kini termasuk kepimpinan, komunikasi berkesan serta pemikiran strategik.Program selama 12 minggu itu menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, merangkumi pendedahan kepada cabaran perniagaan sebenar, kajian kes aplikasi serta pelaksanaan projek kolaboratif yang mencerminkan situasi industri semasa.Peserta turut didedahkan kepada elemen penting pengurusan seperti tadbir urus, pengurusan sumber manusia, literasi kewangan, inovasi, transformasi digital serta kemahiran rundingan, sekali gus membentuk graduan yang lebih holistik dan bersedia memasuki pasaran kerja.Sementara itu, 'EMP Professional' direka khas untuk golongan profesional yang ingin memperkukuh keupayaan kepimpinan dan pengurusan dalam tempoh singkat.Program bagi kategori itu dilaksanakan selama empat hari secara hibrid, melibatkan sesi dalam talian, bengkel secara bersemuka, projek berkumpulan serta bimbingan mentor berpengalaman industri.Modul 'EMP Professional' merangkumi enam bidang utama iaitu kepimpinan strategik, tadbir urus, pengurusan sumber manusia, kewangan, inovasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kemahiran rundingan serta etika dan akauntabiliti.Program diakhiri dengan pelaksanaan projek impak organisasi yang memberi nilai tambah secara langsung kepada institusi atau syarikat peserta.Sasaran penyertaan bagi program berkenaan melibatkan golongan profesional daripada sektor awam, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC), sejajar usaha melahirkan barisan kepimpinan masa depan yang berdaya tahan serta berprestasi tinggi.Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, UPTM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri termasuk MBSB, WTCKL, East Coast Rail Link (ECRL), DELL, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Open Learning.Dalam masa sama, universiti turut memperkukuh penawaran akademik melalui program Ijazah dan Sarjana yang diintegrasikan dengan pensijilan profesional antarabangsa seperti Association Of Chartered Certified Accountants (ACCA), Chartered Management Institute (CMI), SAS dan Google bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.Inisiatif berkenaan juga selari Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 iaitu 'Partnership for Goals', menyokong misi Mara untuk menjadikan UPTM sebagai hab akademik dan pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri negara.

Go to News Site