Sinar Harian
SHAH ALAM - Cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk menetapkan harga lantai padi pada RM3,000 satu tan metrik perlu dinilai berdasarkan kajian ekonomi menyeluruh, bukan sekadar diumumkan sebagai janji dasar.Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, peningkatan sehingga 100 peratus memerlukan penelitian mendalam terhadap implikasi fiskal dan kesan rantaian ekonomi."Persoalan utama yang perlu dijawab dengan jujur, adakah cadangan kenaikan daripada RM1,500 kepada RM3,000 ini disandarkan kepada kajian ekonomi yang menyeluruh, atau sekadar satu janji retorik tanpa asas yang kukuh?"Dalam mana-mana sistem ekonomi, perubahan sebesar ini tidak berlaku dalam vakum, ia pasti membawa implikasi yang besar sama ada kepada pengguna atau kepada kewangan negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut beliau, sebarang kenaikan besar dalam harga lantai padi tidak boleh dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan terhadap kewangan negara berikutan negara menggunakan sekitar 2.5 hingga 2.7 juta tan beras setahun.Jelas bekas Exco Pertanian Kelantan itu, sekiranya subsidi tidak ditingkatkan, beban kenaikan harga beras akan dipindahkan kepada pengguna serta memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat"Sekiranya kerajaan perlu menampung perbezaan harga padi sebanyak RM1,500 satu tan melalui subsidi, beban tambahan kepada fiskal negara berpotensi mencecah berbilion ringgit setiap tahun."Dalam keadaan kewangan negara yang perlu diurus secara berhemah, persoalan kemampuan untuk mengekalkan subsidi pada skala sebegini tidak boleh dipandang ringan," katanya.Dalam kenyataan itu, Che Abdullah menegaskan bahawa dasar pertanian perlu mengimbangi kepentingan pengeluar dan pengguna secara serentak yang terkesan secara langsung oleh perubahan harga makanan asas."Dasar yang baik bukan sekadar memberi kelegaan jangka pendek kepada satu pihak, tetapi mesti mampu bertahan dan adil kepada semua dalam jangka panjang."Tanpa perincian pelaksanaan yang jelas, tanpa penjelasan sumber pembiayaan, dan tanpa analisis impak yang teliti, cadangan seperti ini berisiko menjadi sekadar janji retorik untuk meraih sokongan, bukan penyelesaian sebenar kepada masalah sektor padi negara," ujarnya.Justeru itu, beliau mencadangkan pendekatan lebih menyeluruh termasuk pengurangan kos input pertanian, peningkatan kecekapan rantaian bekalan dan pembukaan akses pasaran terus kepada petani bagi meningkatkan pendapatan mereka tanpa membebankan pengguna atau fiskal negara."Rakyat hari ini semakin matang, mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan angka besar atau janji yang menarik di atas kertas."Yang dinilai adalah keupayaan dasar itu untuk dilaksanakan secara realistik dan mampan," katanya.Media sebelum ini melaporkan PN bersedia menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Komitmen itu disuarakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan perkara itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara.
Go to News Site