Sinar Harian
PARIT BUNTAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa kes bunuh seorang pelajar wanita yang ditemui dengan 61 kesan tikaman dalam kejadian di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pihak JKM telah menggerakkan pakar psikologi bagi membantu keluarga mangsa mengatasi trauma susulan kejadian tragis itu.Menurutnya, sesi kaunseling amat penting memandangkan kehilangan insan tersayang secara mengejut bukan sesuatu yang mudah diterima."JKM sendiri mempunyai pakar psikologi untuk memberi sesi kaunseling kepada keluarga supaya mereka dapat mengurangkan trauma yang dialami."Kehilangan orang tersayang dalam keadaan luar jangka seperti ini memberi kesan mendalam kepada keluarga," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Pasar raya Mydin di sini pada Isnin.Menurut Salbiah, pihak JKM telah pun turun ke rumah keluarga mangsa selepas kejadian bagi memberikan bantuan awal termasuk sokongan emosi.Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.Menurutnya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada program pengurusan emosi dan kesihatan mental dalam usaha menangani peningkatan kes jenayah melibatkan unsur keganasan."Di bawah portfolio saya dan juga Wanita Perak, kita mula fokus kepada program pengurusan emosi dan kesihatan mental bagi mengelakkan kejadian tidak diingini akibat hilang kawalan emosi."Kita tidak boleh bayangkan individu yang waras akan bertindak sedemikian, justeru langkah pencegahan perlu diperkasakan," ujarnya.Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Salbiah memaklumkan seramai 29 penerima Kad Perak Sejahtera di daerah Kerian menerima manfaat pada program berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan penerima di daerah itu sekitar 1,826 orang.Menurutnya, daripada 21,000 penerima yang diluluskan di seluruh negeri, seramai 20,268 individu telah menerima kad berkenaan setakat ini, manakala baki kira-kira 700 lagi akan disalurkan secara berperingkat.Media sebelum ini melaporkan, mangsa Nurfisya Zulkifly, 19, dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di atas jalan di kawasan sawah padi.Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 12.30 malam pada Khamis dengan kesan 61 tikaman pada badan, leher dan muka.Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Pada 2 Mei lalu, jenazah Nurfisya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Enggor sekitar jam 5.30 pagi selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Go to News Site