Collector
Jemaah haji sakit berpeluang wukuf di Arafah | Collector
Jemaah haji sakit berpeluang wukuf di Arafah
Sinar Harian

Jemaah haji sakit berpeluang wukuf di Arafah

MAKKAH – Di sebalik keterujaan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, hampir separuh jemaah haji Malaysia kini selamat tiba di Makkah dan Madinah, membawa bersama doa, harapan dan rasa syukur untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, setakat ini seramai 15,175 jemaah telah berada di Tanah Suci melibatkan 9,878 orang di Makkah dan 5,297 lagi di Madinah."Alhamdulillah, setakat jam 10 pagi, 4 Mei 2026, operasi penerbangan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dengan 48 peratus keseluruhan penerbangan telah dilaksanakan," katanya.Menurutnya, pergerakan jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga berjalan lancar termasuk ketibaan berperingkat ke Madinah dan Jeddah.Dalam perkembangan lain, jemaah haji Malaysia yang berdepan masalah kesihatan masih berpeluang untuk dibawa menunaikan ibadah wukuf di Arafah, kecuali mereka yang berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan pernafasan.Mohd Hisham berkata, usaha tetap akan diteruskan bagi memastikan jemaah yang masih stabil tidak terlepas peluang melaksanakan rukun paling utama dalam ibadah haji itu."Bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan atau prosedur intubasi, memang sukar untuk dipindahkan atas faktor keselamatan."Namun kita tetap berusaha sedaya upaya bersama pihak hospital Arab Saudi untuk membawa jemaah yang stabil menggunakan ambulans ke Arafah, sekurang-kurangnya untuk membolehkan mereka berwukuf walaupun seketika," katanya dalam sidang akhbar di sini.Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha memastikan jemaah yang telah lama menunggu tidak terlepas rukun utama ibadah haji.Dalam perkembangan kesihatan, Mohd Hisham memaklumkan seramai 16 jemaah telah dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan kebanyakannya melibatkan kes kardiovaskular, pernafasan, saraf dan otot.Katanya, setakat ini hanya empat jemaah masih menerima rawatan di hospital sekitar Makkah dan Madinah, termasuk seorang yang masih memerlukan bantuan mesin pernafasan namun keadaannya masih stabil. Manakala selebihnya telah dibenarkan discaj.Beliau menjelaskan, kes yang dirawat melibatkan 25 peratus penyakit jantung, 22 peratus masalah pernafasan dan 22 peratus berkaitan masalah otot termasuk kekejangan serta keletihan melampau akibat pergerakan fizikal yang tinggi.Menurutnya, jemaah juga mula menyesuaikan diri dengan cuaca panas yang mencecah lebih 40 darjah Celsius di Tanah Suci ini.Sementara itu, Mohd Hisham berkata, semua persediaan menjelang kemuncak haji iaitu operasi Masyair juga sedang giat dilaksanakan termasuk pemeriksaan di Arafah dan Mina."Penyedia perkhidmatan sedang berusaha memastikan penginapan dan kemudahan berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan jemaah," katanya.

Go to News Site