Sinar Harian
ALOR GAJAH - Pemandu van persiaran yang terlibat dalam kemalangan ketika membawa lapan warganegara India di Kilometer 212 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Isnin dikesan positif dadah jenis syabu.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.30 pagi.Menurutnya, siasatan awal mendapati van persiaran berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Melaka sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan."Pemandu van berusia 55 tahun yang merupakan warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan."Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif dadah jenis methamphetamine (syabu)," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.Susulan itu katanya, pemandu van berkenaan telah ditahan bagi permohonan reman pada Selasa.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan."Dalam kejadian tersebut, tiga penumpang iaitu seorang lelaki dewasa berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun mengalami kecederaan ringan."Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," tambah beliau.Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.Sinar Harian pada Isnin melaporkan lapan warganegara India termasuk tiga kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan apabila kenderaan jenis Toyota Hiace terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid memaklumkan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan.Ujarnya, operasi berjaya dikawal pada jam 11.13 pagi dan tamat sepenuhnya seminit kemudian selepas memastikan tiada sebarang bahaya lain.
Go to News Site