Sinar Harian
PUTRAJAYA – Peniaga, Rosmaini Abdul Raof yang diperintah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun kerana mencederakan bekas isteri hingga koma, dijangka berdepan pertuduhan hampir sama membabitkan insiden yang menimpa isteri ketiga, yang mengalami keguguran, di Mahkamah Sungai Petani, Kedah, Khamis ini.Bagaimanapun, peguam, Kamal Hisham Ja’afar berkata, pihaknya tidak lagi akan mewakili lelaki berusia 43 tahun tersebut dalam prosiding akan datang."Sebelum ini, atas dasar profesionalisme selaku seorang peguam, saya akur untuk membela Rosmaini sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Rayuan namun perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat sehingga sanggup memburukkan barisan peguam."Sedangkan, saya mewakili Rosmaini secara percuma iaitu 'pro bono', selepas isteri pertama dan anak-anaknya merayu meminta pertolongan."Jadi, selesainya rayuan ini, saya tidak mewakili Rosmaini lagi, termasuk kes-kes lain pada masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, Rosmaini kini ditahan di Penjara Kajang dan akan dibawa ke Kedah dalam masa terdekat bagi menghadapi pertuduhan tersebut.Buat masa ini katanya, anak guam kekal ditahan sekurang-kurangnya sehingga Rabu sebelum dibawa ke Utara tanah air.Ditanya mengenai penerimaan hukuman Mahkamah Rayuan, Kamal Hisham berkata, Rosmaini menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka, namun masih menafikan kes yang menimpa bekas isterinya itu.Menurutnya, lelaki itu juga tidak akan memfailkan semakan ke Mahkamah Persekutuan di sini.Pada Isnin, Mahkamah Rayuan di sini, menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun terhadap Rosmaini.Panel tiga hakim, dipengerusikan Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.Lelaki itu selaku perayu juga, dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, 48, melalui wakil keluarga yang menjaganya.Jika perayu gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan dipenjara selama enam bulan.Mahkamah kemudian menolak rayuan akhirnya, (rayuan silang) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman, sekali gus menyebabkan dia diperintah ke Penjara Kajang serta-merta.Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas satu pertuduhan, sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki di belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor.Wanita itu dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail (kini berusia empat tahun lima bulan) secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU).
Go to News Site