Sinar Harian
SHAH ALAM – Selepas menyatakan sokongan terhadap tindakan UMNO-BN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar minggu lalu, kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker mengubah pendirian dan mengumumkan langkah berkecuali susulan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.Ketua Pembangkang itu memaklumkan, keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara."Keutamaan kami adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran."Dalam masa sama, kami berpandangan bahawa pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat."Malah pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.Sebelum ini Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan dilapor menyatakan sokongan kepada kepemimpinan UMNO-BN selain mengumumkan bersedia untuk bekerjasama demi menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.Mohamad Hanifah yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan berkata, tindakan yang diambil oleh lima ADUN PN adalah selaras dengan pendirian gabungan itu yang senantiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan.Sementara itu beliau menegaskan, sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri yang akan datang.Pada masa sama, beliau mahu semua pihak memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat"Pendirian berkecuali ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip kematangan politik, kestabilan pentadbiran dan keutamaan kepada kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek," ujarnya.Mohamad Hanifah menjadi wakil rakyat kedua mengambil pendirian berkenaan selepas ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad mengumumkan langkah tersebut petang tadi.
Go to News Site