Sinar Harian
SHAH ALAM - Tidak mengemukakan video bukti badal haji kerana mahu bersikap adil dengan pelaksana di Tanah Suci, namun pemberi amanah atau pengupah dijanjikan sijil pengesahan pelaksanaan dan majlis tahlil kecil-kecilan di Malaysia sebaik selesai.Itu antara alasan diberi sebuah syarikat pelancongan dan umrah ketika wartawan Sinar Harian cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran pakej badal haji murah dengan anggaran sekitar RM2,000 hingga RM3,500.Ia susulan peringatan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir pada Ahad agar rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan tawaran badal haji di bawah RM9,500 atau 9,000 riyal.Menurut wakil syarikat pelancongan umrah dan haji itu, pendaftaran servis badal haji di bawah kendalian pihaknya dibuka sehingga 30 April, namun dilanjutkan sehingga 8 Mei ini atas permintaan ramai.Dengan nada ramah dan cukup meyakinkan, wanita itu memberitahu tidak menyediakan sebarang bukti video badal haji selesai dibuat oleh pelaksana kononnya staf mereka di sana tua serta tidak mahir menggunakan gajet, namun dijamin berpengalaman luas."Tetapi memang akan dapat sijil pengesahan badal haji, satu penama satu pelaksana cuma kami tak ada video bukti pelaksanaan kerana di sana kami juga mahu adil untuk semua pihak."Jangan risau, ramai pelanggan yang buat badal haji dan kami laksanakan, ini amanah orang kan? Kami ada ramai staf di sana yang akan uruskan badal haji."Memang tidak ada masalah dan selepas selesai, kami akan buat majlis tahlil juga. Waris atau wakil keluarga boleh datang pejabat kami di Sabah," katanya pada Isnin.Ditanya tentang mengapa harga ditawarkan murah tidak seperti kos sepatutnya iaitu RM9,500 ke atas, wanita tersebut mendakwa pihaknya memiliki kakitangan yang ramai untuk memenuhi permintaan ‘satu penama, satu pelaksana’.Ditambah pula staf sudah berada di Tanah Suci, bukan baharu bergerak dari Malaysia yang memungkinkan kos tambang pergi dan balik menjadi mahal."Kalau ada yang lebih murah daripada kami, itu yang tidak logik dan perlu berhati-hati sebenarnya."Pelanggan kena pilih betul-betul. Kalau macam kami pun RM3,500 memang dijamin untuk satu penama," ujarnya lagi.
Go to News Site