Sinar Harian
SANDAKAN - Ops Tiris Bersepadu 4.0 yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merekodkan 506 kes dengan penahanan seramai 147 individu di seluruh negara.Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu diperoleh hasil daripada 38,071 pemeriksaan di seluruh negara sejak operasi berkenaan dilaksanakan pada 16 Mac lalu."Daripada 506 kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu diesel melibatkan 228 kes, petrol (105), gas petroleum cecair (LPG) (64), minyak masak (57), gula (35) dan tepung gandum (16)."Bagi negeri Sabah pula, sebanyak 6,108 pemeriksaan telah dibuat dan menghasilkan 132 kes, di mana daripada jumlah itu, kes tertinggi adalah diesel melibatkan 48 kes dan petrol sebanyak 32 kes. Jadi itu setakat ini dapatan dan juga status penguatkuasaan," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani di pekarangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jalan Buli, Sim Sim, di sini pada Selasa.Menurut beliau, Ops Tiris Bersepadu 4.0 diwujudkan bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan melibatkan semua agensi berkaitan yang diurusetiakan oleh KPDN dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan, khususnya diesel dan petrol."Sebab kita tahu dalam tempoh krisis ini, antara barang kawalan yang menjadi sasaran utama adalah bahan api diesel dan petrol disebabkan lonjakan harga minyak dunia, selain setiap negara turut berdepan isu mendapatkan bekalan bahan api."Ia bukan hanya terkait jurang harga, tetapi juga faktor sumber dan keterjaminan bekalan, bukan sahaja dalam negara malah di seluruh dunia termasuk negara-negara jiran kita," katanya.Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan bekalan bahan api dalam negara tidak mengalir keluar atau dimanfaatkan oleh pihak yang tidak berkelayakan sehingga menjejaskan keterjaminan bekalan untuk rakyat dan industri."Kita juga telah melaksanakan penguatkuasaan Ops Tiris Bersepadu 4.0 itu pada 16 Mac dan setakat ini daripada tempoh tersebut sehinggalah kepada 4 Mei," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata pada 8 April lalu, Jemaah Menteri telah memutuskan penubuhan Task Force Ops Tiris 4.0 khusus bagi Sabah, Labuan dan Sarawak berikutan risiko ketirisan yang lebih serius di wilayah berkenaan."Ada dua pasukan petugas diwujudkan mengambil kira kepada isu yang lebih serius dilihat dan risiko itu ada di ketiga-tiga wilayah ini."Untuk Sabah dan Labuan, pasukan petugas ini dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga Setiausaha Persekutuan Sabah, manakala untuk Sarawak pula adalah Setiausaha Kerajaan Sarawak dan juga Setiausaha Persekutuan di Sarawak."Jadi dua pasukan petugas ini selain daripada Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) di peringkat pusat," jelasnya.Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan penguatkuasaan tersebut dapat mengekang ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan, sekali gus memastikan kelangsungan keterjaminan bekalan untuk rakyat serta sektor industri."Ini juga bagi memastikan peruntukan kerajaan, dana yang disalurkan untuk subsidi barang-barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol itu dapat betul dimanfaatkan oleh rakyat kita dan juga golongan sasar," katanya.
Go to News Site