Sinar Harian
BUTTERWORTH - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 di sini terhadap pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen pada April lalu.Heah Ban How membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Roslan Hamid selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin pada pagi Selasa.Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 44 tahun itu didakwa memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu sebanyak 556.5 liter minyak diesel dalam tangki bahan api yang diubah suai pada lori jenama Hino dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat, SS Petroleum Sdn Bhd, Lot 1243 di Jalan Besar, Chong Nam Estate Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) pada jam 2 petang, 29 April lalu.Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara runcit atau borong tanpa lesen.Dia juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.Preeya menawarkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tiada pekerjaan dan menanggung ibunya yang sudah uzur."Saya tidak mempunyai pekerjaan dan belum berkahwin."Saya juga perlu menanggung ibu yang berusia 72 tahun. Oleh demikian, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.Roslan kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.Kes ditangguh sehingga 11 Jun untuk lantikan peguam, laporan kimia dan sebutan semula.Sebelum ini, media melaporkan KPDN Pulau Pinang merampas 24,000 liter minyak diesel yang cuba diseleweng bersama dua lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM400,000 dalam satu serbuan di stor berlesen di Simpang Ampat, SPS.Pengarahnya, S Jegan berkata, pihaknya telah menjalankan risikan dan pemantauan selama dua minggu sebelum menyerbu stor yang mendedahkan aktiviti pemindahan diesel, yang dipercayai untuk dijual kepada sektor industri.Dalam serbuan itu, KPDN turut merampas sebuah tangki skid, lori 18 tan yang telah diubah suai, sebuah lori tangki berkapasiti 21,400 liter, satu set motor pam bersama hos paip serta beberapa dokumen perniagaan berkaitan.
Go to News Site