Sinar Harian
SANDAKAN - Permohonan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kini turut dibuka secara fizikal bagi memudahkan syarikat-syarikat yang layak membuat permohonan subsidi berkenaan.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan bagi ketiga-tiga wilayah itu telah mula dibuka pada Isnin melibatkan 23 sektor pengangkutan darat barangan.Menurut beliau, syarikat yang berkelayakan boleh membuat semakan dan permohonan melalui portal di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my yang diwujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).Bagaimanapun katanya, mengambil kira isu capaian internet dan tahap celik digital yang berbeza di Sabah, Sarawak dan Labuan, kementerian turut memutuskan untuk membuka kaedah permohonan secara fizikal."Jadi kita bagi masa, boleh rujuk kepada portal MySubsidi yang KPDN wujudkan tersebut dan kita tahu isu Sabah, Sarawak, Labuan ini kadang-kadang ada isu akses internet, ada juga mungkin syarikat-syarikat ini yang kurang mahir dan ingin mendapatkan maklumat tambahan tentang manfaat subsidi ini, cara membuat permohonan dan sebagainya."Jadi kita telah memutuskan selain daripada pendaftaran secara dalam talian bagi wilayah Sabah, Sarawak dan juga Labuan ini, kita juga akan membuat pendaftaran secara fizikal," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani, di pekarangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Buli, Sim Sim, di sini pada Selasa.Tambahnya lagi, pendaftaran secara fizikal itu boleh dibuat di pejabat-pejabat KPDN termasuk di peringkat negeri dan cawangan, selain melalui program-program anjuran kementerian."Sama ada di premis-premis tetap KPDN, pejabat KPDN di negeri dan juga cawangan-cawangan dan pada masa sama juga di program-program tertentu yang dianjurkan oleh KPDN."Contohnya dalam Program Jualan Rahmah tertentu, begitu juga dalam program mini karnival dan sebagainya. Ini untuk membuka seluas-luasnya ruang kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan di bawah 23 jenis kenderaan untuk sektor pengangkutan darat awam itu," katanya.Sehubungan itu, Armizan menasihatkan semua syarikat yang terlibat supaya segera membuat semakan kelayakan dan melengkapkan dokumen berkaitan bagi mengelakkan kelewatan mendapatkan manfaat subsidi tersebut.Beliau berkata, proses permohonan itu melibatkan dua peringkat, iaitu mendapatkan kelulusan SKDS melalui portal terlebih dahulu sebelum memohon Fleet Card daripada syarikat minyak yang terlibat."Prosesnya ada dua, pertama syarikat kena memohon melalui portal itu untuk mendapatkan kelulusan SKDS. Ini mudah, kalau dokumen lengkap sebenarnya dalam tempoh beberapa jam pun boleh keluar kelulusan dan mereka boleh cetak melalui portal itu."Tetapi proses yang kedua adalah apabila mendapatkan Fleet Card tersebut, mereka perlu memohon daripada syarikat-syarikat minyak dan di Sabah ini ada tiga syarikat minyak yang terlibat," jelasnya.Beliau berkata, proses mendapatkan Fleet Card dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari, justeru syarikat yang layak disaran membuat permohonan secepat mungkin.
Go to News Site