Collector
Cadangan ADUN lantikan Johor, berisiko buka ruang ‘pintu belakang’ – PKR | Collector
Cadangan ADUN lantikan Johor, berisiko buka ruang ‘pintu belakang’ – PKR
Sinar Harian

Cadangan ADUN lantikan Johor, berisiko buka ruang ‘pintu belakang’ – PKR

ISKANDAR PUTERI – Cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk memperluaskan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengenalan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dikhuatiri boleh menjejaskan prinsip demokrasi pilihan raya.Naib Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata cadangan tersebut bukan sekadar perubahan struktur pentadbiran, sebaliknya menyentuh asas legitimasi mandat rakyat dalam sistem demokrasi negeri.Menurut Ahli Parlimen Tebrau itu lagi, ADUN lantikan yang dicadangkan tidak melalui proses pilihan raya, tidak mempunyai kawasan dan tidak dipilih oleh pengundi, namun tetap akan diberikan kedudukan serta kuasa yang sama seperti ADUN yang dipilih rakyat."Lima ADUN lantikan ini tidak mempunyai kawasan, tidak mempunyai pengundi dan tidak melalui proses pilihan raya, namun diberi hak yang sama seperti ADUN yang dipilih, termasuk hak untuk mengambil bahagian, bersuara dan mengundi."Ini bukan lagi isu kawasan kelabu, tetapi satu cabaran terbuka terhadap legitimasi demokrasi. Apa yang lebih membimbangkan, mekanisme ini berpotensi menjadi satu bentuk ‘ADUN pintu belakang’," katanya dalam kenyataan.Jimmy Puah turut membangkitkan kebimbangan bahawa mekanisme itu boleh membuka ruang kepada pelantikan politik yang tidak berasaskan sokongan pengundi, sekali gus mewujudkan persepsi wujudnya ‘pintu belakang’ dalam pengisian jawatan politik negeri.Tambahnya, situasi itu juga berpotensi melemahkan prinsip akauntabiliti wakil rakyat kerana ADUN lantikan tidak bertanggungjawab secara langsung kepada pengundi di kawasan tertentu.Beliau turut mempersoalkan keperluan menambah jawatan lantikan ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, dengan menyatakan keutamaan seharusnya diberikan kepada dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.Beliau menegaskan reformasi politik seharusnya memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya, bukan mewujudkan struktur yang dilihat boleh memintas kehendak pengundi.

Go to News Site