Sinar Harian
ALOR GAJAH - Mahkamah Sesyen Alor Gajah membenarkan reman tujuh hari ke atas pemandu van persiaran yang membawa lapan pelancong warganegara India selepas didapati positif dadah sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 212 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, di sini pada Isnin lalu.Perintah reman terhadap lelaki tempatan berusia 55 tahun itu dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin bermula Selasa hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan lapan warganegara India termasuk tiga kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan apabila kenderaan jenis Toyota Hiace terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.30 pagi.Beliau berkata, siasatan awal mendapati van persiaran berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Melaka sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan.Pemandu van berusia 55 tahun yang merupakan warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif dadah jenis methamphetamine (syabu).Dalam kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu seorang lelaki dewasa berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur sembilan dan 13 tahun, sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.Untuk rekod, ini merupakan kes kedua melibatkan pemandu pengangkutan awam yang dihadapkan ke mahkamah selepas didapati positif dadah jenis syabu ketika membawa penumpang.Pada 24 April lalu, media melaporkan seorang pemandu bas ekspres yang tular memandu sebelah tangan dan disahkan positif dadah jenis syabu ketika membawa 13 penumpang dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah.Ia selepas tertuduh, Mohd Tamrin Ibrahim, 53, mengaku bersalah memandu bas secara berbahaya dan berada dalam keadaan khayal akibat dadah ketika dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru.
Go to News Site