Sinar Harian
BANDAR BARU BANGI – Perbuatan biadab seorang lelaki yang memuat naik hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada September tahun lalu, akhirnya memakan diri apabila Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, di sini, pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan serta denda RM5,000 terhadapnya.Mohd Hafiz Haron, 42, selaku orang kena saman (OKS), dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Firdaus Md Isa.Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak itu dipenjara serta-merta dengan tambahan pemenjaraan selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik, melampau sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak menerusi aplikasi TikTok pada jam 7.30 pagi, 11 September 2025.Hantaran tersebut telah dilihat oleh seorang pengadu di sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, di sini, pada jam 10 malam hari yang sama.Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.Berdasarkan fakta kes, pengadu berkenaan yang berasa marah dan sakit hati selepas menonton hantaran itu kemudian membuat laporan polis bersama tiga individu lain.Keterangan menunjukkan bahawa OKS sememangnya sedar dan tahu bahawa hantaran yang dibuat menggunakan telefon bimbitnya itu bersifat jelik melampau serta menghina Agong.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias, mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.OKS yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja di kampung selain menyara anak-anak dan ibu yang uzur.Pada 13 September 2025, media melaporkan pihak polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkenaan.Semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau membabitkan tiga kes jenayah lain dan satu kes berkaitan narkotik.
Go to News Site