Sinar Harian
KUALA LUMPUR - 'Inspektor Sunil' yang menyamar sebagai pegawai polis dari India bagi melakukan jenayah penipuan dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara terbabit berjaya ditumpaskan baru-baru ini.Sindiket Macau Scam itu dibongkar oleh Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sebuah banglo di ibu negara pada 23 April lalu.Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 22 individu termasuk tiga wanita ditahan.Menurutnya, tangkapan terdiri daripada 13 warga Pakistan, dua warga Taiwan, enam warga India serta seorang warga tempatan."Modus operandi sindiket ialah menyamar sebagai pihak berkuasa termasuk Polis India dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah berkaitan penyebaran kandungan berunsur hasutan yang berkaitan dengan kerajaan India."Sindiket juga menggunakan skrip khas bagi memperdaya mangsa sebelum meminta mangsa membuat bayaran kononnya bagi tujuan siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Selasa.Tambahnya, serbuan terbabit berjaya merampas pelbagai barangan antaranya 49 telefon bimbit, tiga unit komputer riba, 12 salinan skrip serta sepasang uniform polis India.Kata Rusdi, JSJK percaya uniform polis itu digunakan oleh salah seorang suspek bagi meyakinkan mangsa kononnya mereka ialah pegawai polis."Dipercayai sindiket ini juga melibatkan akaun keldai yang dibekalkan oleh sindiket dari negara terbabit," ujarnya.Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan JSJK juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa India serta Pakistan untuk tindakan lanjut."Pada 25 April, seorang warga tempatan telah dijamin polis, manakala 21 tangkapan warga asing telah ditahan semula di bawah kesalahan Akta Imigresen 1959/63 sehingga 10 Mei ini," ujarnya.Dalam kes berlainan, pada 24 April lalu, JSJK Bukit Aman juga menumpaskan sindiket pusat panggilan love scam yang beroperasi di sebuah premis di Kuala Lumpur dengan nilai rampasan mencecah RM90,000.Kata Rusdi, seramai 13 individu diberkas membabitkan tujuh warga China, dua warga Myanmar, seorang warga Vietnam serta tiga warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun."Sindiket menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat dengan menggunakan aplikasi seperti PIGSMS untuk mendekati mangsa selain profil palsu serta menarik bagi membina hubungan peribadi."Mangsa kemudian diarah beralih ke aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk berinteraksi dengan lebih kerap," ujarnya.Tambahnya, setelah hubungan terjalin, mangsa digalakkan mendedahkan maklumat peribadi termasuk kewangan sebelum diminta menghantar wang atas alasan hubungan peribadi."Sindiket yang beroperasi pada awal April lalu dikesan menggunakan rangkaian internet yang didaftarkan atas nama syarikat tempatan," katanya.
Go to News Site