Collector
Infrastruktur pendidikan berkualiti tingkat prestasi akademik | Collector
Infrastruktur pendidikan berkualiti tingkat prestasi akademik
Sinar Harian

Infrastruktur pendidikan berkualiti tingkat prestasi akademik

IPOH – Penyediaan infrastruktur pendidikan yang kondusif, selamat dan berkualiti dilihat mampu menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar di negara ini.Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persekitaran pembelajaran yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelajar malah membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih berkesan.Menurutnya, usaha berterusan kerajaan melalui penambahbaikan kemudahan termasuk membaik pulih sekolah daif memberi impak positif terhadap pencapaian akademik khususnya di kawasan luar bandar."Secara keseluruhannya (sekolah-sekolah) luar bandar ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik dan pastinya kita juga berterima kasih kerana soal-soal terkait dengan infrastruktur, bangunan daif, sekolah daif itu diberikan perhatian oleh Kerajaan Madani."Sebab itu kita tekankan supaya sekolah terus dipastikan selamat dan kondusif sebagai antara fasiliti terbaik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyerahan bangunan baharu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak oleh Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Pendidikan.Mengulas mengenai kompleks pendidikan tersebut, Fadhlina berkata, projek yang bermula pada 2022 itu siap sepenuhnya pada Mac lalu dengan kos kira-kira RM58 juta dan kini telah mula beroperasi manakala operasi penuh dijangka bermula awal Julai.Menurutnya, kompleks yang dibina di atas tanah seluas 2.48 hektar itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan utama, makmal komputer, bilik mesyuarat, bilik seminar, kafeteria, surau serta ruang kerja yang komprehensif bagi menyokong operasi pendidikan negeri.Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata bangunan lama JPN Perak akan diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara untuk kegunaan operasi.

Go to News Site