Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Kes jenayah penipuan dalam talian mencatatkan 16,880 kes dengan kerugian mencecah RM555.78 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini setakat Mac.Bagi tempoh sama tahun lalu, 12,110 kes direkodkan membabitkan kerugian RM573.65 juta.Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, jenayah telekomunikasi menjadi penyumbang terbesar dengan 5,981 kes dan kerugian RM173 juta, manakala bagi tempoh sama tahun lalu merekodkan 5,214 kes dengan kerugian RM159.2 juta.Menurutnya, jenayah telekomunikasi antara enam modus operandi utama penipuan dalam talian selain jenayah e-kewangan, love scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud."Ini diikuti jenayah e-dagang sebanyak 2,535 kes melibatkan kerugian RM22.6 juta bagi tiga bulan setakat Mac tahun lalu, manakala tempoh sama tahun ini mencatatkan 4,858 kes dengan kerugian mencecah RM30.4 juta."Bagi kes pelaburan tidak wujud pula, tahun lalu sebanyak 2,026 kes (RM357.7 juta) dan tempoh sama tahun ini sebanyak 2,204 kes (RM246.7 juta)," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Selasa.Tambahnya, bagi kes pinjaman tidak wujud pula, 1,404 kes direkodkan bagi tempoh tiga bulan tahun lalu dengan kerugian berjumlah RM10.79 juta dan jumlah kes itu meningkat dalam tempoh sama pada tahun ini iaitu 2,101 kes melibatkan kerugian RM15.5 juta.Kata Rusdi, dalam perbandingan bagi tempoh tiga bulan, jenayah e-kewangan juga mencatatkan peningkatan ketara apabila 711 kes (RM13.6 juta) pada tahun lalu, manakala 1,485 kes (RM83.4 juta) tahun ini."Selain itu, love scam mencatatkan 220 kes dengan kerugian RM9.6 juta (tiga bulan tahun lalu) dan meningkat 251 kes dengan kerugian RM6.6 juta tahun ini," ujarnya.Bagaimanapun dalam tempoh tiga bulan bagi kedua-dua tahun, tambahnya, JSJK mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus bagi tangkapan melibatkan keseluruhan kes jenayah komersial.Jelasnya, statistik turut menunjukkan peningkatan jumlah pertuduhan bagi kes jenayah komersial iaitu sebanyak 13.59 peratus bagi tempoh sama.
Go to News Site