Sinar Harian
KUANTAN - Negara mengalami kerugian purata lebih RM700 juta setahun akibat penggunaan bekalan elektrik secara haram di premis yang menjalankan aktiviti melombong bitcon di seluruh negara.Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah tersebut amat membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kerugian yang lebih besar.Menurutnya, selain kerugian besar kepada negara, aktiviti itu turut mengancam keselamatan awam dan kerosakan harta benda."Rata-rata premis yang diperiksa didapati menggunakan sistem pendawaian yang tidak selamat hingga berisiko berlaku letupan dan kebakaran."Pada masa sama, ia juga mengundang masalah dan gangguan sistem bekalan elektrik kepada pengguna lain," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik melibatkan dua rumah kediaman yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di sekitar Taman Seri Mahkota dan Kampung Batu 11 di sini pada Selasa.Hasil operasi kira-kira jam 10 pagi disertai pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga itu berjaya mengesan kegiatan melombong mata wang kripto secara haram menggunakan premis kediaman yang disewa bagi mengelabui mata pihak berkuasa.Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan di premis pertama menemui 18 mesin melombong yang sedang beroperasi yang menggunakan kira-kira 40,703 kilowatt elektrik sehari dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM21,000 sebulan."Manakala di premis kedua, terdapat 10 mesin beroperasi dengan anggaran penggunaan elektrik 26,403.84 kilowatt sehari melibatkan kerugian dianggarkan RM13,703 sebulan."Untuk dua premis ini sahaja kerugian mencecah RM34,000 bulan atau 208,000 untuk tempoh enam bulan," katanya.Abdul Rahman berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447]."Sekiranya disabitkan kesalahan, syarikat atau individu terbabit akan berhadapan dengan hukuman denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama."Kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak kurang dari RM 5,000 dan tidak lebih RM 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," jelasnya.Justeru beliau meminta pemilik rumah agar lebih peka dan selidik penyewa kediaman masing bagi mengelak premis tersebut disalah guna untuk aktiviti haram."Sebaiknya, tukar akaun pengguna elektrik kepada nama penyewa kerana bagi kes seperti ini (kecurian elektrik) tuntutan akan dikenakan kepada pemilik sekiranya penyewa gagal dikesan."Penduduk setempat atau jiran juga diminta memainkan peranan melaporkan aktiviti melombong wang kripto sekiranya syak berlaku kecurian elektrik di kawasan masing-masing," ujarnya.Jelas beliau, operasi pemotongan bekalan elektrik itu akan diteruskan bagi mengesan dan membanteras aktiviti haram itu di seluruh negara
Go to News Site