Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan dua tenaga pengajar sebuah badan berkanun negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30,000.Suapan tersebut dipercayai sebagai balasan untuk mengeluarkan sijil lulus kelayakan kompetensi kepada peserta kursus tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.Perintah reman selama empat hari sehingga 8 Mei 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada pagi Selasa.Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu."Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025."Wang rasuah yang diminta adalah sebagai balasan untuk memberikan ‘kelulusan segera’ sijil kompetensi kepada setiap peserta kursus tanpa melalui proses sepatutnya," katanya.Tambah sumber, setiap peserta dipercayai membayar antara RM900 hingga RM1,500 kepada suspek."Setakat ini, seramai 31 peserta dikenal pasti terlibat dan wang rasuah tersebut diperoleh melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik kedua-dua suspek," jelasnya.Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.Katanya, SPRM kini sedang meneliti sama ada penipuan pengeluaran sijil kompetensi ini melibatkan skala yang lebih besar.Beliau turut memaklumkan bahawa kemungkinan terdapat beberapa lagi siri tangkapan susulan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan."Pihak suruhanjaya juga tidak menolak kemungkinan untuk melakukan semakan terperinci terhadap setiap sijil yang telah dikeluarkan oleh agensi berkaitan bagi mengenal pasti kesahihannya," ujarnya.
Go to News Site