Sinar Harian
PUTRAJAYA – Usaha agresif kerajaan mereformasikan pendidikan negara berisiko menjadi pelaburan tidak menguntungkan sekiranya tidak diselaraskan dengan perubahan struktur sektor pekerjaan.Ini kerana kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Dr Anuar Ahmad, ketika pelbagai agenda reformasi pendidikan digerakkan, persoalan lebih besar ialah keupayaan memastikan hasilnya benar-benar diterjemahkan dalam realiti ekonomi."Perkara yang dibimbangi adalah di saat kita mereformasikan pendidikan negara dengan begitu kuat dan bersungguh-sungguh, tetapi kita lihat reformasi pekerjaan tidak berlaku," katanya menerusi hantaran rakaman video di laman sosialnya pada Isnin.Menurutnya, ketidakseimbangan itu menyebabkan struktur pekerjaan kekal didominasi sektor berkemahiran rendah dan sederhana."Dua pertiga daripada pekerjaan di negara kita masih lagi didominasi oleh pekerjaan sektor berkemahiran rendah dan sederhana. Hanya satu pertiga sahaja yang kita kategorikan sebagai pekerjaan yang berkemahiran tinggi," ujarnya.Situasi tersebut jelas beliau, menimbulkan persoalan mengenai hala tuju graduan berkemahiran tinggi yang dilahirkan sistem pendidikan."Kalau kita berjaya mereformasikan pendidikan kita sehingga boleh melahirkan lebih ramai graduan berteknologi tinggi, di mana mereka akan masuk ke sektor pekerjaan?" soal Anuar.Beliau turut mendedahkan realiti semasa apabila sebahagian besar graduan tidak menikmati pulangan setimpal dengan kelayakan dimiliki."Hari ini kita bercakap lebih dua juta graduan yang dibayar gaji rendah, di bawah kelayakan, malah ada graduan tidak mendapat peluang pekerjaan dan mereka ini menjadi pekerja gig sebagai satu bentuk pekerjaan untuk teruskan kehidupan."Mereka ini graduan. Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk memastikan mereka belajar di universiti yang dibiayai lebih 90 peratus menggunakan dana kerajaan, dana rakyat melalui cukai dan sebagainya," katanya.Tambah beliau, kegagalan menyerap tenaga mahir ke dalam sektor berkemahiran tinggi akan terus mewujudkan kitaran merugikan kepada ekonomi."Bayangkan kalau kita menghasilkan beratus ribu graduan setiap tahun dan sebahagian besar daripada mereka tidak bekerja dan tidak menyumbang kepada produktiviti negara."Saya fikir inilah satu pelaburan yang tidak menguntungkan negara," jelas Anuar.Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menyelaraskan reformasi pendidikan dengan pembaharuan struktur pekerjaan."Saya rasa kerangka ini perlu kita pecahkan. Kita masih terperangkap di dalam sektor pekerjaan rendah dan sederhana."Saya mengharapkan sektor pekerjaan di negara kita itu bukanlah lagi satu pertiga yang berkemahiran tinggi, tetapi sepatutnya dua pertiga adalah berkemahiran tinggi," katanya.
Go to News Site