Sinar Harian
SEREMBAN - Undang Yang Empat memfailkan Saman Pemula terhadap kerajaan Negeri Sembilan bagi menuntut keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu digantung.Saman berkenaan difailkan oleh Tetuan Deidra Sharona & Co, di Mahkamah Tinggi Seremban pada Selasa.Defenden pertama dinamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, defenden kedua ialah DKU dan defenden ketiga ialah kerajaan Negeri Sembilan.Plantif terdiri daripada Undang Yang Empat iaitu Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungai Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol) dan Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau).Selain itu, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) dan Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid (Datuk Shahbandar Sungei Ujong).Berdasarkan dokumen mahkamah yang dikongsi peguam, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka berhak mendapatkan salinan minit Mesyuarat Khas DKU yang diadakan pada 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti.Mereka turut memohon perintah supaya Raja Norazli dan DKU mengemukakan serta menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.Selain itu, plaintif menuntut supaya mahkamah menggantung pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan-defendan yang berkaitan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU 17 April 2026 sehingga minit mesyuarat berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.Permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban pada 13 Mei 2026, jam 9 pagi secara fizikal.
Go to News Site