Sinar Harian
BATU PAHAT – Seorang lelaki terpaksa menahan sebak ketika membantu mengangkat jenazah seorang murid perempuan yang maut dalam kemalangan di hadapan sekolah, tengah hari Selasa.Kamarul Nizam Kamarudin, 36, antara individu yang membantu menguruskan jenazah Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun Dua yang maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, dekat sini."Saya tahan menangis ketika mengangkat jenazahnya kerana terbayang anak saya."Secara kebetulan, arwah sebaya dengan anak saya walaupun sekolah berlainan," katanya.Pekerja pembersihan itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke pekan Parit Sulong sebelum ternampak kemalangan di hadapan sekolah berkenaan.Menurutnya, lebih menyentuh hati apabila di tangan mangsa masih terdapat sehelai baju sukan yang dipercayai baru diterima dan masih berbalut plastik."Tidak lama kemudian, pegawai penyiasat tiba dan meminta bantuan untuk mengangkat jenazah bagi tujuan siasatan."Saya yang memusingkan badan arwah ketika itu... saya tak mampu bayangkan keadaannya. Air mata hampir menitis kerana terbayang anak sendiri," katanya.Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong, di sini pada malam Selasa.Sebelum itu, jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Mustaffa untuk disolatkan.Ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan beberapa kali hampir pengsan sepanjang urusan menuntut jenazah anak sulungnya itu.Ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa yang dikebumikan bersebelahan pusara neneknya.Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, Nur Aini Umairah maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolahnya.Kejadian berlaku ketika semua murid sekolah terbabit pulang sebaik sesi persekolahan tamat.Nur Aini Umairah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Go to News Site