Sinar Harian
SHAH ALAM - Badal haji menjadi jalan menyempurnakan Rukun Islam bagi mereka yang uzur atau telah meninggal dunia kini menjadi lubuk keuntungan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.Tawaran pakej badal haji mudah ditemui di setiap media sosial lengkap dengan harga digambarkan 'mesra poket' namun di sebaliknya, wujud kelompongan seperti ketiadaan lesen khusus, tiada badan pemantau dan tiada mekanisme pengesahan.Sijil pelaksanaan badal haji pula lazimnya dikeluarkan syarikat atau ejen itu sendiri, bukan daripada badan berautoriti menjadikan sijil tersebut tidak lebih daripada sekeping kertas yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan pelanggan. Ketiadaan badan kawal selia yang jelas akan membuka ruang luas kepada manipulasi.Kos sebenar menunaikan haji termasuk logistik, penginapan dan pengurusan di Tanah Suci, tidak mungkin serendah diiklankan tanpa menjejaskan kualiti atau keabsahah ibadah.Realitinya ramai terpedaya dan mangsa pula sering kali tidak menyedari ditipu kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ejen, menunggu dengan harapan ibadah bagi pihak insan tersayang disempurnakan.Tanpa sistem semakan atau pengesahan rasmi, penipuan ini boleh berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa disedari.Persoalan utama yang timbul, siapakah yang sepatutnya mengawal selia industri ini?Secara asasnya, pengurusan haji di Malaysia berada di bawah bidang kuasa Lembaga Tabung Haji, namun peranan badan ini lebih tertumpu kepada pengurusan jemaah haji secara langsung manakala aspek pelancongan dan pengiklanan pula berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).Pertindihan dan fragmentasi bidang kuasa itu menjadikan isu penipuan badal haji terlepas perhatian mana-mana pihakJusteru itu, menjadi keperluan agar kementerian dan agensi berkaitan duduk semeja bagi merangka satu mekanisme kawal selia yang lebih komprehensif.Antara langkah dipertimbangkan termasuk penubuhan badan kawal selia khusus bagi perkhidmatan badal haji selain berperanan sebagai pemberi lesen, pemantau operasi serta pengeluar sijil pengesahan rasmi.Selain itu, satu pangkalan data berpusat juga perlu diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyemak status pelaksanaan badal haji secara telus.Tindakan penguatkuasaan juga tidak boleh dipandang ringan berikutan konteks penipuan bersifat tersembunyi, pendekatan reaktif semata-mata jelas tidak mencukupi.Pemantauan proaktif terhadap iklan di media sosial, audit terhadap syarikat menawarkan pakej serta operasi penyamaran antara langkah bagi mengekang kegiatan ini.Lebih penting, kesedaran awam perlu diperkasakan dengan masyarakat harus dididik memahami kos sebenar pelaksanaan haji dan mengenal pasti tanda-tanda penipuan.Tanpa tindakan segera dan menyeluruh, ruang ini terus dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab dan persoalannya, sejauh mana kita bersedia menanganinya sebelum lebih ramai menjadi mangsa dalam diam.
Go to News Site