Sinar Harian
KOTA KINABALU - Seorang lelaki terjatuh ke dalam laut selepas bot yang dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Mengalum di sini, pada pagi Isnin lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Nur Amin, 21, belum ditemui sehingga kini.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pagi Rabu."Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Sabah telah menerima panggilan daripada polis Kota Kinabalu yang memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kes mangsa hilang di perairan Pulau Mengalum pada Isnin lalu."Menurut maklumat, kira-kira jam 11.30 pagi, pengadu telah dihubungi oleh rakan sekerja mangsa yang memaklumkan telah berlaku perlanggaran bot pada jam lebih kurang 9.30 pagi di lokasi. Semasa kejadian, mangsa lelaki dilaporkan terjatuh ke laut dan hilang," katanya dalam kenyataan.Katanya lagi, pengadu bersama rakan-rakannya telah melaksanakan pencarian awal di lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemui."Pihak polis telah mengaktifkan Ops SAR pada pagi ini di jeti DBKK, di belakang kompleks beli belah Suria Sabah manakala, pasukan kita juga telah berada di lokasi kejadian dan sedang membantu SAR yang sedang dijalankan ketika ini bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan dua lagi bot milik sebuah syarikat."Operasi pencarian melibatkan radius pencarian kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya.Ordine berkata, pihak polis memaklumkan akan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya bantuan tambahan diperlukan dalam operasi SAR tersebut.
Go to News Site