Sinar Harian
SANDAKAN - Lima lelaki masing-masing didenda RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, selepas mengaku bersalah melakukan bida'ah dan furu' dengan berzikir di kawasan perkuburan pada waktu malam Disember tahun lalu.Kesemua tertuduh berusia antara 35 hingga 45 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Khalid Suahid, pada Rabu.Menurut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 dibaca bersama Seksyen 65(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995, yang memperuntukkan tindakan terhadap amalan bida’ah dan perkara berkaitan furu’.Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwa Syarie, Mohd Nadzrie Ag Jaynudin dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).Sementara itu, siasatan dijalankan oleh Unit Penguatkuasa Agama JHEAINS yang diketuai Pegawai Tadbir JHEAINS Sandakan, Ustaz Rahmin Arman serta Pegawai Penguatkuasa Agama (Operasi), Ustaz Sabli Ali.Kesemua tertuduh membayar denda yang ditetapkan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.Dalam kejadian Disember tahun lalu tular video sekumpulan individu berzikir di kawasan tanah perkuburan pada waktu tengah malam sehingga mencetuskan pelbagai reaksi awam.
Go to News Site