Collector
Geng Guangxi seluk saku di kawasan pelancongan Melaka tumpas | Collector
Geng Guangxi seluk saku di kawasan pelancongan Melaka tumpas
Sinar Harian

Geng Guangxi seluk saku di kawasan pelancongan Melaka tumpas

MELAKA - Sekumpulan lima lelaki warga China yang digelar ‘Geng Guangxi’ dipercayai aktif dalam kegiatan seluk saku di kawasan tumpuan pelancong sekitar negeri ini, tumpas selepas diberkas polisKetua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua suspek berusia antara 29 hingga 62 tahun itu ditahan susulan laporan diterima daripada seorang pelancong warga China yang kehilangan beg duit mengandungi wang tunai dan kad kredit ketika berada di Jonker Walk pada 25 April lalu.Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka melancarkan operasi khas dan berjaya menahan dua suspek pada hari sama di sekitar Dataran Pahlawan."Hasil soal siasat lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sebuah kondominium di Cheras pada 29 April lalu," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg silang, dua dompet, kad pengenalan warga asing serta mata wang asing dari beberapa negara.Katanya, kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini."Bagi kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali."Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya pelancong agar sentiasa berwaspada dan menjaga barangan peribadi ketika berada di kawasan sesak bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah seluk saku.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis melalui balai polis berhampiran atau saluran rasmi Polis Diraja Malaysia.

Go to News Site