Sinar Harian
KLANG – Polis menahan dua lelaki warga India dan merampas pelbagai minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM556,000 dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.Serbuan Op Taring Alpha 2 itu dijalankan kira-kira jam 9.35 malam oleh Bahagian WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).Komander WCB/PSK Pasukan Gerakan Am JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu hasil risikan terhadap kegiatan penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai di kawasan Klang."Hasil serbuan, kita menahan dua lelaki warga India yang dipercayai penjaga dan pekerja premis berkenaan."Pemeriksaan turut menemukan sebanyak 354 peti dan 142 kotak minuman keras jenis bir pelbagai jenama membabitkan 4,893 liter, selain 25 kotak minuman keras jenis liquor berjumlah 238.55 liter," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Mohd Zaki berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori Nissan UD berserta kunci dan wang tunai RM3,011."Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk kompaun dianggarkan RM556,414.87," katanya.Menurutnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen penjualan minuman keras tidak bercukai."Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut," katanya.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63."MBDK turut mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM2,000 atas kesalahan pelesenan dan iklan di bawah Undang - Undang Kecil MBDK 2007," katanya.
Go to News Site