Collector
Bartomeu buka cerita tawaran misteri RM1.8 bilion untuk Messi | Collector
Bartomeu buka cerita tawaran misteri RM1.8 bilion untuk Messi
Sinar Harian

Bartomeu buka cerita tawaran misteri RM1.8 bilion untuk Messi

BEKAS Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mendedahkan rahsia besar bahawa gergasi Catalan itu hampir kehilangan Lionel Messi pada 2017 menerusi perpindahan rekod dunia, tidak lama selepas pemergian Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).Bartomeu mendakwa sebuah kelab misteri yang mendapat suntikan dana dari Timur Tengah bersedia untuk mengaktifkan klausa pelepasan bintang Argentina itu yang mencecah angka luar biasa.Dalam satu temu bual eksklusif bersama Cadena SER, Bartomeu membuka cerita mengenai tempoh paling mencabar sepanjang kepimpinannya di Camp Nou.Katanya, selepas dikejutkan dengan penghijrahan Neymar ke PSG pada 2017, pihak pengurusan kelab berada dalam keadaan berjaga-jaga sebelum menyedari wujud satu operasi kewangan besar-besaran untuk 'mencuri' Messi dari Sepanyol."Beberapa minggu selepas Neymar pergi, khabar angin mula bertiup kencang bahawa sebuah kelab sedang menyediakan €400 juta (RM1.8 bilion) untuk Messi iaitu jumlah klausa pelepasannya ketika itu," katanya.Nilai tersebut adalah hampir dua kali ganda daripada rekod dunia €222 juta (RM1 bilion) yang dibayar untuk Neymar, sekali gus bakal mengubah landskap bola sepak Eropah secara total jika ia berlaku.Meskipun Manchester City sering dikaitkan dengan Messi susulan kehadiran Pep Guardiola, Bartomeu dengan tegas menafikan kelab England itu adalah pihak yang cuba melakukan 'rompakan' tersebut.Beliau memberi bayangan bahawa sokongan kewangan itu datang daripada sumber peringkat kerajaan yang menambah misteri mengenai identiti sebenar kelab berkenaan."Dana daripada sebuah negara Arab telah dipindahkan ke akaun-akaun di Eropah. Ia bukan perkara main-main, wang itu sudah tersedia."Saya tidak mahu menyebut nama kelab tersebut, tetapi yang pasti ia bukan Manchester City. Tidak banyak kelab di England atau kelab milik kerajaan yang mampu mengeluarkan belanja sebesar itu," jelasnya lagi.Pendedahan itu mencetuskan spekulasi sama ada kelab tersebut adalah Paris Saint Germain, Chelsea atau mungkin kelab dari Timur Tengah sendiri yang ingin membawa pemenang Ballon d'Or lapan kali itu keluar dari Barcelona.Ancaman kehilangan Messi memaksa Barcelona bertindak pantas. Bartomeu mengakui pihaknya terpaksa menstruktur semula kontrak Messi bagi memastikan pemain itu kekal di Catalonia."Apa yang kami lakukan adalah berbincang dengan Lionel Messi dan bapanya. Kami perlu menaikkan klausa pelepasan daripada €400 juta kepada €700 juta."Namun, apabila anda menaikkan klausa pelepasan, anda juga perlu menaikkan gaji dan pampasan pemain. Ia adalah angka yang sangat tinggi," katanya.Langkah drastik itu berjaya menamatkan cubaan kelab misteri berkenaan, namun ia juga menjadi punca kepada kemelut kewangan Barcelona yang akhirnya membawa kepada perpisahan menyedihkan Messi dengan kelab itu pada tahun 2021.Messi berpindah secara percuma ke PSG pada 2021 sekali gus menamatkan tempoh penuh gemilangnya di Barcelona.

Go to News Site