Sinar Harian
PUTRAJAYA – Badan Peguam Malaysia berjaya dalam permohonannya untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) yang memberikan perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.Ia membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.Panel tiga hakim diketuai Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan AG memberhentikan prosiding tersebut.Faizah yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin mendapati, permohonan badan itu untuk mendapatkan kebenaran bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.Semasa membacakan keputusan tersebut, beliau berkata, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.Beliau berkata, cabaran Badan Peguam terhadap kedudukan AG dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan."Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit," katanya.Panel sehubungan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.Sebelum ini, peguam, Datuk S Ambiga yang mewakili badan itu menghujahkan bahawa, keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid telah diambil, sedangkan kes prima facie berjaya dibuktikan terhadapnya. Menurutnya, keputusan untuk menghentikan pendakwaan juga dicapai selepas Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.Katanya, cara dan justifikasi yang diambil oleh AG ketika memohon DNAA tidak menggalakkan ketelusan, melindungi orang ramai mahupun mengekalkan integriti institusi awam.Sebaliknya, beliau berkata, keputusan DNAA bersandarkan kepada asas penyiasatan lanjutan (tanpa bukti apa-apa penyiasatan diteruskan lebih daripada satu setengah tahun kemudian), tanpa dikemas kini.Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berkata, keputusan DNAA pada 2023 itu, tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.Beliau berkata, keputusan Pendakwa Raya untuk memberikan DNAA dibuat dalam lingkungan kuasa dan bidang kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.Katanya, kes itu dihentikan berikutan wujud isu baharu serta bukti yang memerlukan siasatan lanjut secara terperinci dan menyeluruh.Ahmad Hanir yang mewakili AG mengemukakan hujahan itu dalam rayuan Badan Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 2024 yang menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.Badan Peguam merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang tidak membenarkannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AG yang juga pendakwa raya.Menerusi permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan AG dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan DNAA pada 4 September 2023 dibatalkan.Hakim, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu.AKAN MENYUSUL
Go to News Site