Collector
Isu miskin tegar: Kerajaan negeri Selangor alami 'sindrom penafian' | Collector
Isu miskin tegar: Kerajaan negeri Selangor alami 'sindrom penafian'
Sinar Harian

Isu miskin tegar: Kerajaan negeri Selangor alami 'sindrom penafian'

SHAH ALAM - Keterujaan kerajaan Selangor mengumumkan kadar sifar kemiskinan tegar di negeri ini tidak tepat dan menggambarkan kerajaan negeri mengalami ‘denial syndrome’ (sindrom penafian) terhadap realiti semasa.Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai pertambahan golongan fakir dan miskin di negeri itu membuktikan isu kemiskinan masih gagal ditangani secara bertanggungjawab.Menurutnya, berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) pada tahun lalu, terdapat pertambahan 14,000 keluarga fakir dan miskin di Selangor."Realiti ini sama sekali tidak selari dengan maklum balas Menteri Besar Selangor kepada Perdana Menteri minggu lalu mengenai kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Mohamed Azmin berkata, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab perlu lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan kemiskinan dengan meneliti laporan serta data secara menyeluruh.Menurut beliau, kenyataan yang tidak tepat hanya akan membentuk persepsi salah dalam masyarakat selain menjejaskan perancangan intervensi bagi membantu golongan memerlukan.Beliau turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan masih ramai rakyat di Selangor hidup dalam keadaan susah dan miskin tegar.Menurutnya, seramai 21,997 ketua isi rumah direkodkan berdaftar dengan sistem eKasih pada tahun 2024 berbanding 17,485 pada 2023, menunjukkan peningkatan jumlah keluarga memerlukan bantuan."Bilangan penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor juga masih tinggi iaitu seramai 59,731 orang pada tahun 2024."Adakah ini menunjukkan sudah tiada orang miskin di Selangor?" soalnya.Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor yang disifatkan memberi pencerahan berhubung kaedah penentuan status asnaf melalui pengiraan had kifayah berdasarkan kos sara hidup semasa.Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Sultan Selangor menegaskan masih terdapat golongan fakir dan miskin di negeri ini walaupun wujud dakwaan kononnya kemiskinan tegar telah dihapuskan sepenuhnya.Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu masyarakat keliru atau tersalah tafsir sehingga menganggap tiada lagi individu memerlukan bantuan zakat di Selangor.Media pada 29 April lalu melaporkan, isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikan beliau di Shah Alam, Selangor.

Go to News Site