Sinar Harian
MAKKAH – Menjelang kemuncak ibadah haji di Masyair yang memerlukan kekuatan fizikal tinggi, jemaah haji Malaysia diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap persediaan otot dan sendi bagi memastikan ibadah di Arafah, Muzdalifah dan Mina dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan kesihatan.Jurupulih perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Azlinda Abdul Hamid berkata, persediaan fizikal melalui senaman regangan secara konsisten menjadi antara kunci utama untuk menghadapi fasa Masyair.Beliau memaklumkan, jemaah tidak seharusnya memandang ringan masalah kelesuan otot yang berlaku sebaik tiba di Tanah Suci kerana trend jemaah mendapatkan rawatan fisioterapi menunjukkan peningkatan dengan anggaran antara 20 hingga 30 kes sehari.Kebanyakan kes melibatkan ketegangan otot akibat perjalanan jauh termasuk penerbangan selama kira-kira lapan jam serta perjalanan bas yang panjang.Keadaan itu katanya, menyebabkan saraf di bahagian punggung tertekan akibat posisi duduk statik dalam tempoh lama."Apabila sampai di sini, otot yang asalnya dalam ‘mod berehat’ tiba-tiba bertukar kepada ‘mod bekerja keras’ untuk aktiviti tawaf dan saie."Inilah yang menyebabkan berlakunya muscle spasm atau kekejangan otot," katanya ketika mengulas keadaan sebahagian jemaah yang terpaksa membongkok menahan sakit selepas menunaikan umrah.Persediaan kritikalAzlinda menegaskan, senaman yang diajar pasukan fisioterapi bukan sekadar rawatan, sebaliknya persediaan kritikal sebelum memasuki fasa Masyair.Antara saranannya adalah melakukan senaman regangan sekurang-kurangnya tiga kali sehari di bilik penginapan masing-masing selain berkongsi teknik regangan yang betul dengan rakan sebilik supaya semua jemaah lebih bersedia dari segi fizikal sebelum memasuki fasa Masyair.Jemaah juga digalakkan membawa peralatan bantuan ringkas seperti kain untuk regangan serta krim sapuan sejuk.Menurutnya, amalan regangan secara konsisten mampu mengurangkan risiko kekejangan selain membantu mengawal tahap kesakitan dengan lebih baik.Bagi mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius, jemaah perlu peka terhadap skala skor kesakitan antara satu hingga 10.Menurutnya, bagi skor sembilan hingga 10, jemaah perlu menghentikan aktiviti fizikal serta-merta dan mendapatkan bantuan termasuk menggunakan kerusi roda bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.Manakala bagi skor lapan ke bawah, jemaah masih boleh meneruskan aktiviti secara perlahan dengan disertakan regangan serta penggunaan pek ais atau krim sejuk selepas ibadah bagi meredakan haba pada sendi.Senaman lebih berkesan berbanding ubatMengulas persepsi segelintir jemaah yang bergantung kepada ubat tahan sakit, Azlinda berkata, ubat hanya memberi kelegaan sementara.Sebaliknya, fisioterapi yang memberi tumpuan kepada bahagian spesifik seperti pinggang hingga kaki mampu menjadikan otot lebih fleksibel selain merawat punca kesakitan."Data kami menunjukkan 80 peratus jemaah berasa lega dan tidak perlu datang semula selepas mengamalkan teknik senaman dan regangan yang diajar," katanya.Bagaimanapun, bagi kes kronik seperti gout, jemaah perlu mendapatkan rawatan doktor terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada fisioterapi.Beliau turut menasihatkan jemaah supaya tidak membiarkan kesibukan beribadah mengabaikan rutin senaman ringkas demi memastikan kesihatan kekal terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
Go to News Site