Sinar Harian
GEORGE TOWN - Seorang lelaki menghadapi 14 pertuduhan termasuk 12 pertuduhan khianat dengan melanggar 12 kenderaan di beberapa lokasi di bandar ini dalam kejadian pada Khamis lalu.Tertuduh, S Prassanndh, 29, yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret 3 dan tiga pertuduhan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret 3 pada Khamis.Di Mahkamah Majistret 1, tertuduh yang memakai jersi berwarna hijau didakwa merempuh sembilan buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Perodua Axia, Proton Saga, Volkswagen, Jeep, Hyundai, Proton Saga, Toyota Yaris, Proton X70 manakala di Mahkamah Majistret 1, tertuduh melanggar tiga buah kereta iaitu Perodua Alza, Isuzu dan Toyota Alphard.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Tanjung Bungah hingga ke Jalan Tengah, Bayan Baru melibatkan beberapa kawasan antaranya persimpangan lampu isyarat Persiaran Gurney, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Sungai Pinang dan Jalan Pangkor antara jam 9 hingga 10.20 pagi, 30 April lalu.Kesemua pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Akibat daripada tindakan tertuduh itu, jumlah kerugian yang dicatatkan bernilai RM10,362.Di Mahkamah Majistret 1, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala tertuduh diwakili peguam, M Sharmila Shanthini.Lau Shavin menawarkan wang jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM63,000.Dalam rayuan bagi pihak tertuduh, Sharmila memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap."Anak guam saya hanya berusia 29 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai kopi dengan pendapatan bulanan yang tidak menentu."Dia juga mempunyai dua tanggungan iaitu isteri serta anak berusia tujuh tahun. Selain itu, dia mempunyai alamat tetap di Pulau Pinang maka tiada kebarangkalian tertuduh akan melarikan diri. Mohon wang jaminan dikurangkan," katanya.Nur Fadrina kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan terhadap tertuduh.Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, bagi tiga pertuduhan di bawah seksyen sama, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.Nadratun bagaimanapun menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.Di mahkamah sama, tertuduh juga menghadapi dua pertuduhan berasingan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu.Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghalang tugas seorang anggota polis berpangkat koperal di Jalan Tanjung Bungah, pada jam 9 pagi, 30 April lalu.Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan tersebut, Ahmad Danial menawarkan jaminan RM6,000 dan Nadratun membenarkan tawaran berkenaan.Bagi pertuduhan berasingan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta Kia Forte secara melulu dari Persiaran Gurney sehingga Jalan Tengah, Bayan Baru pada waktu dan tarikh yang sama.Bagi pertuduhan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan lesen memandu, jika sabit kesalahan.Ahmad Danial menawarkan wang jaminan RM10,000 dan Nadratun membenarkan jumlah jaminan berkenaan terhadap tertuduh.Dalam rayuannya, Sharmila menggunakan hujah yang sama seperti yang diberikan di Mahkamah Majistret 1.Oleh demikian, jumlah keseluruhan jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah RM56,000.Kes ditangguhkan sehingga 15 Jun depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 43 saat memaparkan dua kereta peronda polis mengejar sebuah kereta yang dipandu laju sehingga melanggar beberapa kenderaan di Persiaran Gurney.Susulan daripada itu, polis giat mengesan pemandu kereta yang melanggar 12 kenderaan lain ketika dikejar kereta peronda sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum berjaya meloloskan diri dalam kejadian di sini pada Khamis lalu.
Go to News Site