Collector
BISA 2026: Malaysia miliki tiga kelebihan, terus berdaya tahan walau dunia dilanda krisis | Collector
BISA 2026: Malaysia miliki tiga kelebihan, terus berdaya tahan walau dunia dilanda krisis
Sinar Harian

BISA 2026: Malaysia miliki tiga kelebihan, terus berdaya tahan walau dunia dilanda krisis

PETALING JAYA - Malaysia bertuah kerana memiliki tiga kelebihan utama yang mampu memastikan negara terus berjaya dan berdaya tahan meskipun dunia ketika ini dilanda pelbagai krisis di luar kawalan.Berteraskan prinsip daripada Sun Tzu: The Art of War, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kelebihan itu merangkumi ‘tian shi, di li, ren he’ iaitu kestabilan politik dan iklim yang kondusif, kedudukan geografi strategik serta kekuatan faktor manusia dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.Menurut beliau, ia meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi ketidaktentuan global berterusan termasuk ketegangan geopolitik dan krisis ekonomi, sambil konsisten menyokong pertumbuhan perniagaan serta inovasi."Dalam dunia yang dilanda pelbagai krisis, banyak perkara berada di luar kawalan kita namun Malaysia mempunyai tiga bahan utama bagi membolehkan kita terus berjaya."Pertama, kita ada kestabilan politik dan iklim. Kedua, kedudukan geografi yang mana lokasi sama ada fizikal, geopolitik mahupun geoekonomi memang strategik."Ketiga, faktor manusia. Malaysia memiliki masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama bahkan memahami variasi budaya dunia," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sekali gus merasmikan Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Rabu.Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim; Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf Mall Sdn Bhd, Izzat Izhar Muhammad Nasir serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Ultimate, Azizi Fickry.Steven menambah, kestabilan politik dan kepimpinan negara yang mantap menjadi tunjang kepada keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi.Selain itu, kata beliau, kedudukan strategik Malaysia dari sudut geopolitik dan geoekonomi turut memberi kelebihan dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan antarabangsa.Mengulas tentang penganjuran BISA Awards 2026, Steven akui berbangga apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang mengambil inisiatif mengiktiraf kemampuan dan kebolehan usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan kaum Melayu.Menurut beliau, Sinar Harian bukan sahaja berkembang sebagai sebuah organisasi media, tetapi juga memainkan peranan dalam membentuk wacana awam."Sinar Harian memberi ruang kepada suara rakyat dan membantu kita memahami isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian."Saya hadir anugerah bisnes anjuran media berbahasa Cina, ada usahawan Melayu yang menang anugerah. Saya rasa amat berbangga kerana satu-satunya surat khabar Bahasa Melayu seperti Sinar Harian mengambil inisiatif untuk mengiktiraf usahawan tempatan khususnya Melayu dalam sektor masing-masing," ujar Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu lagi.Lebih 30 usahawan dan organisasi daripada pelbagai sektor menerima pengiktirafan BISA 2026 menerusi 37 kategori anugerah secara keseluruhannya.Pengiktirafan itu meliputi bidang hospitaliti, fesyen, kesihatan, pendidikan, teknologi, peruncitan dan logistik yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Go to News Site