Sinar Harian
PETALING JAYA - Penganjuran Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 disifatkan sebagai gilang-gemilang selepas acara membabitkan lebih 30 usahawan daripada pelbagai sektor itu melabuhkan tirainya pada Rabu.Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pihaknya berpuas hati dan amat gembira kerana penganjuran kali kedua itu berjalan lancar sepertimana dirancang sejak tahun lalu, ditambah pula kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong memeriahkan lagi malam berprestij tersebut.Menurut beliau, kelainan dibawa tahun ini cukup mengejutkan penerima anugerah iaitu pengumuman kategori Anugerah Pilihan Juri buat lima usahawan berjaya dan pihaknya menjanjikan sesuatu yang lebih istimewa pada penganjuran BISA seterusnya kelak."Berbeza dengan BISA 2023, kami adakan Anugerah Pilihan Juri dalam BISA 2026 sebagai kejutan buat penerima kerana semuanya tidak tahu pada mulanya."Saya semeja dengan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan beliau amat terkejut dan teruja apabila diumumkan salah seorang penerima Anugerah Pilihan Juri."Alhamdulillah, Sinar Harian sangat gembira, berterima kasih dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat penerima BISA 2026. Malam ini adalah untuk meraikan kejayaan anda semua," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas BISA Awards 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, di sini pada Rabu.Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim; Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf Mall Sdn Bhd, Izzat Izhar Muhammad Nasir serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Ultimate, Azizi Fickry.Lebih 30 usahawan dan organisasi daripada pelbagai sektor menerima pengiktirafan dalam BISA 2026 menerusi 37 kategori anugerah secara keseluruhannya.Pengiktirafan itu meliputi bidang hospitaliti, fesyen, kesihatan, pendidikan, teknologi, peruncitan dan logistik yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).Sementara itu, Zamri memasang harapan agar penganjuran BISA dua tahun lagi dapat melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing."Kalau boleh kita nak libatkan lebih ramai usahawan termasuk agensi kerana seperti yang kita lihat tahun ini, BISA 2026 bukan sahaja meraikan usahawan tetapi juga agensi selaku tulang belakang sistem keusahawanan di negara ini."Contohnya Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS (PKNS BizPoint) dan Bank Rakyat, agensi yang menyokong ekosistem perniagaan Malaysia," ujarnya lagi.
Go to News Site