Collector
Anggota keselamatan terus pantau stesen minyak, bendung ketirisan subsidi | Collector
Anggota keselamatan terus pantau stesen minyak, bendung ketirisan subsidi
Sinar Harian

Anggota keselamatan terus pantau stesen minyak, bendung ketirisan subsidi

KUANTAN - Kerajaan akan terus menempatkan anggota keselamatan di stesen minyak berhampiran sempadan berikutan langkah itu terbukti memberi impak signifikan dalam mengekang ketirisan serta penyelewengan bahan api bersubsidi.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil pemantauan di 170 stesen minyak berhampiran sempadan di enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, Perlis dan Johor menunjukkan penurunan jualan petrol RON95 bersubsidi sehingga 20 peratus.Menurutnya, pengawasan berterusan sejak langkah itu dilaksanakan susulan krisis tenaga global berjaya mengurangkan pembelian oleh pihak yang tidak layak menerima subsidi berkenaan."Saya menerima laporan harian daripada bilik operasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diwujudkan susulan krisis Asia Barat itu dan melalui pemantauan stesen minyak dekat sempadan, kita dapati jualan RON95 bersubsidi merosot sehingga 20 peratus manakala jualan RON97 tanpa subsidi meningkat."Ini memberi gambaran sebelum adanya kawalan, terdapat pembelian oleh pihak tidak layak. Apabila ada kehadiran polis, mereka berfikir banyak kali untuk membeli minyak subsidi," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Wira Madani (PJWM) Briged Tenggara PGA di Kem Galing di sini pada Khamis.Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.Saifuddin berkata, kerajaan kini sedang melakukan ‘profiling’ stesen minyak yang terlibat bagi mengenal pasti modus operandi sindiket yang menggunakan pelbagai kaedah termasuk penyalahgunaan kad fleet untuk mendapatkan diesel bersubsidi.Katanya, terdapat pihak yang menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter menyerahkan kad fleet mereka kepada sindiket untuk membeli dan menjual semula diesel dengan harga industri tanpa subsidi."Ketika kerajaan bergelut memastikan bekalan mencukupi dan mengekalkan harga rendah melalui subsidi, masih ada pihak mengambil kesempatan melakukan penyeludupan dan salah guna."Justeru, kawalan pasukan polis akan diteruskan hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kerana langkah ini terbukti memberi kesan besar kepada penjimatan kerajaan."Sekiranya sesebuah stesen minyak mencatat jualan harian satu juta liter sebelum ini dan menurun kepada 800,000 liter selepas pengawasan dilakukan, pengurangan tersebut menunjukkan jumlah ketirisan yang berjaya dibendung."Bayangkan jika ia melibatkan 170 stesen minyak, tentunya penjimatan kepada kerajaan sangat besar," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pelaku penyelewengan subsidi termasuk membawa kes terus ke mahkamah dan bukan sekadar berakhir dengan kompaun.Menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan supaya setiap kes yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan diteruskan dengan pertuduhan bagi memberi pengajaran kepada pihak terlibat."Mereka yang menyalahgunakan kad fleet juga patut dibatalkan terus kelayakan menggunakan kemudahan itu kerana kes melibatkan ratusan ribu liter, bukannya 10 atau 20 liter sahaja," katanya.

Go to News Site