Collector
PTPTN sokong bakat kreatif kanak-kanak melalui AKAR 2026 | Collector
PTPTN sokong bakat kreatif kanak-kanak melalui AKAR 2026
Sinar Harian

PTPTN sokong bakat kreatif kanak-kanak melalui AKAR 2026

PUTRAJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkukuh peranan sosialnya apabila tampil sebagai rakan strategik  dalam penganjuran Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat kanak-kanak.Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, penglibatan itu selari usaha melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki daya kreativiti serta kepekaan terhadap isu semasa.Menurut beliau, AKAR 2026 yang digerakkan Yayasan KRU berperanan mencungkil potensi peserta sejak usia awal, khususnya di peringkat prasekolah serta sekolah rendah yang menjadi fasa penting pembentukan pemikiran."Program ini bertujuan memperkasa bakat kreatif dalam kalangan generasi muda, merapatkan jurang digital serta membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan peka terhadap pemeliharaan alam sekitar," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini pada Rabu.Beliau menambah, pendekatan berasaskan seni dan kreativiti mampu mengasah imaginasi, membina keyakinan diri serta mendorong perkembangan sahsiah secara menyeluruh dalam kalangan peserta.Katanya, pertandingan yang bertemakan alam sekitar turut memberi nilai tambah apabila menjadi medium pendidikan tidak formal bagi menyemai kesedaran menjaga kelestarian bumi sejak kecil.Dalam masa sama, Norliza menjelaskan penyertaan PTPTN menerusi program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong inisiatif pendidikan berimpak tinggi kepada masyarakat."Usaha ini bukan sahaja membantu pelajar menggapai impian masa hadapan, malah membentuk nilai yang mengakar kukuh dalam diri mereka demi melahirkan modal insan berkualiti," ujarnya.Beliau berharap kerjasama strategik bersama Yayasan KRU serta sokongan pelbagai pihak mampu memastikan AKAR 2026 mencapai matlamat, sekali gus melahirkan generasi kreatif dan berdaya saing untuk masa depan negara.AKAR 2026 merupakan inisiatif nasional yang bertujuan mencungkil dan memperkasa bakat kreatif generasi muda Malaysia secara menyeluruh.Program tersebut turut melibatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), selain PTPTN.Sebagai langkah permulaan, AKAR 2026 akan memberi tumpuan kepada pelajar prasekolah dan sekolah rendah melalui penganjuran pertandingan melukis dan mewarna bertemakan pemeliharaan alam sekitar.Pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu prasekolah berumur empat hingga enam tahun, sekolah rendah tahap satu tujuh hingga sembilan tahun dan tahap dua 10 hingga 12 tahun.Penyertaan adalah secara individu sebelum dipilih mewakili negeri ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 29 Ogos depan.Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim memaklumkan program berkenaan merupakan platform nasional bagi membimbing serta memperkasa bakat kreatif dari peringkat awal pendidikan.Menurut beliau, perkembangan pesat ekonomi digital serta kemunculan teknologi baharu menuntut generasi muda memiliki keupayaan kreatif dan inovatif bagi kekal relevan dalam pasaran kerja.Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama strategik bersama PTPTN akan diperkukuh melalui pelaksanaan siri jelajah ke 40 sekolah rendah terpilih di seluruh negara bagi meningkatkan penyertaan pertandingan."Kerjasama ini amat penting bagi mendapatkan penyertaan serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan simpanan masa depan anak-anak," ujarnya.

Go to News Site