Sinar Harian
IPOH – Penyalahgunaan dadah sintetik khususnya jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) di Perak berada pada tahap membimbangkan apabila semakin ramai golongan muda malah seawal usia 11 tahun terlibat dengan gejala itu.Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Musa berkata, berdasarkan statistik hingga Disember 2025, seramai 14,915 individu direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di negeri itu.Menurutnya, walaupun angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 6.79 peratus berbanding tahun 2024, isu berkenaan masih memerlukan tindakan berterusan daripada semua pihak."Trend semasa menunjukkan penyalahgunaan dadah kini banyak melibatkan dadah sintetik terutama ATS."Di Perak, seramai 5,561 individu berumur antara 15 hingga 39 tahun direkodkan mengambil dadah ATS, manakala penggunaan dadah sintetik meningkat sebanyak 39.9 peratus berbanding tahun 2023," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian sempena Malam Mesra Bersama Media AADK Negeri Perak di Royal Perak Golf Club di sini pada Khamis.Mohamad Nor berkata, AADK turut memandang serius trend baharu penyalahgunaan dadah menggunakan vape bercampur bahan terlarang, cecair sintetik dan bahan halusinogen seperti magic mushroom dalam kalangan pelajar sekolah serta remaja.Menurutnya, trend itu semakin membimbangkan kerana bahan berkenaan mudah diperoleh, sukar dikesan dan dipromosikan secara meluas menerusi media sosial."Golongan remaja dan pelajar merupakan kumpulan paling berisiko akibat pengaruh rakan sebaya, budaya media sosial serta kurang kesedaran terhadap kandungan sebenar bahan digunakan."Berdasarkan laporan diterima, terdapat peningkatan penglibatan pelajar bawah umur dalam penyalahgunaan vape dan bahan sintetik sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kes melibatkan kanak-kanak seawal usia 11 tahun," katanya.Mohamad Nor berkata, cabaran utama ketika ini ialah kewujudan New Psychoactive Substance (NPS) atau dadah sintetik baharu seperti fentanyl dan sintetik cannabinoid yang sukar dikesan menerusi ujian saringan biasa.Katanya, keadaan itu menyukarkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan pada peringkat awal kerana bahan berkenaan memerlukan ujian makmal bagi pengesahan.Dalam pada itu, beliau berkata, AADK terus memberi perhatian serius terhadap isu penagihan semula (relapse) yang masih menjadi cabaran utama dalam usaha pemulihan penagih.Menurutnya, antara faktor dikenal pasti termasuk pengaruh persekitaran, tekanan hidup, kurang sokongan keluarga, stigma masyarakat serta kegagalan menyesuaikan diri dalam komuniti dan tempat kerja.Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan kerajaan Perak melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah Daerah telah bersetuju mewujudkan 10 Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) bermula November tahun lalu dengan satu kampung dipilih bagi setiap daerah yang mempunyai pejabat AADK.Katanya, program itu bertujuan memperkasa komuniti setempat untuk membantu individu berisiko mendapatkan rawatan secara sukarela selain menjalankan program intervensi dan pembangunan insan."Kita mahu komuniti sendiri memainkan peranan membantu kerajaan menangani masalah ini."Kalau dahulu masyarakat cenderung mengasingkan penagih, kini pendekatan kita ialah memberi sokongan dan kasih sayang supaya mereka dapat kembali berfungsi dalam keluarga dan masyarakat," katanya.Pada majlis tersebut, agensi media turut diberikan sijil penghargaan di atas kerjasama selama ini menjadi rakan strategik AADK.
Go to News Site