Collector
Pemuda maut di loteng, bapa sesak nafas rumah terbakar | Collector
Pemuda maut di loteng, bapa sesak nafas rumah terbakar
Sinar Harian

Pemuda maut di loteng, bapa sesak nafas rumah terbakar

SUNGAI PETANI - Seorang pemuda maut manakala bapanya pula sesak nafas selepas rumah mereka di Bandar Seri Astana di sini terbakar pada Jumaat.Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zaki Senik berkata, mangsa yang maut berusia 20-an itu dijumpai di ruang loteng rumah pada jam 5.23 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Menurutnya, bapa mangsa yang berusia 50-an pula telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut."Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.51 pagi memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan api sedang marak."Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama bantuan BBP Amanjaya telah digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 22 anggota serta beberapa aset termasuk sebuah FRT, EMRS, Water Tanker dan jentera bantuan," katanya.Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.07 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A satu tingkat."Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah dan dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah, sebuah kereta Perodua Alza musnah 90 peratus serta empat buah motosikal turut terjejas," katanya.Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.41 pagi.Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.

Go to News Site