Collector
Isu miskin tegar: Azmin jangan putar demi politik sempit - Setiausaha Politik MB Selangor | Collector
Isu miskin tegar: Azmin jangan putar demi politik sempit - Setiausaha Politik MB Selangor
Sinar Harian

Isu miskin tegar: Azmin jangan putar demi politik sempit - Setiausaha Politik MB Selangor

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta tidak memutarbelitkan isu kemiskinan tegar di negeri ini demi kepentingan politik sempit.Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kenyataan Azmin berhubung isu miskin tegar di negeri itu disifatkan sebagai cubaan politik murahan yang tidak berpaksikan fakta sebenar.Menurutnya, usaha membasmi miskin tegar terutama di Selangor bukan perkara baharu, malah menjadi fokus utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sejak hari pertama pentadbiran."Kerajaan tidak pernah menafikan kewujudan golongan memerlukan, namun pendekatan yang diambil adalah berasaskan data rasmi serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunapakai di peringkat nasional."Kerajaan Selangor bersama Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai bantuan kebajikan secara berterusan termasuk program Bingkas, Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, sebaliknya melaksanakan intervensi terus kepada rakyat terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.Saifuddin berkata, sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin sepatutnya memahami bahawa data eKasih dan bantuan kebajikan adalah sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi, bukannya bukti kegagalan kerajaan seperti didakwa.Katanya, kerajaan negeri juga menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya institusi zakat diperkasakan dan agenda membasmi kemiskinan terus diberi perhatian secara berterusan serta bersepadu."Segala intipati titah Tuanku dijadikan panduan oleh kerajaan negeri dalam memastikan Selangor terus menjadi negeri makmur dan tidak meminggirkan golongan memerlukan," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Azmin sendiri berada dalam ‘denial syndrome’ kerana ketika menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini didakwa enggan mengakui peningkatan kes Covid-19 berpunca daripada kluster kilang walaupun terdapat data dan laporan mengenainya."Janganlah hari ini Azmin mahu menjadi juara rakyat dengan memainkan sentimen miskin tegar sedangkan rekod pentadbirannya sendiri memperlihatkan kegagalan memahami data serta realiti di lapangan."Kerajaan Madani akan terus memberi fokus kepada agenda membela rakyat secara menyeluruh dan memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara," tambah beliau.Sinar Harian pada Khamis melaporkan, keterujaan kerajaan Selangor mengumumkan kadar sifar kemiskinan tegar di negeri ini tidak tepat dan menggambarkan kerajaan negeri mengalami ‘denial syndrome’ (sindrom penafian) terhadap realiti semasa.Mohamed Azmin berkata, titah Sultan Selangor mengenai pertambahan golongan fakir dan miskin di negeri itu membuktikan isu kemiskinan masih gagal ditangani secara bertanggungjawab.

Go to News Site