Collector
7 warga asing diberkas,cuba seludup bunga ganja RM12.6 juta | Collector
7 warga asing diberkas,cuba seludup bunga ganja RM12.6 juta
Sinar Harian

7 warga asing diberkas,cuba seludup bunga ganja RM12.6 juta

SHAH ALAM - Taktik dua sindiket cuba menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya dipatahkan polis menerusi tiga serbuan berasingan yang membawa kepada rampasan bernilai RM12.6 juta.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 28 dan 30 April lalu."Sindiket ini dipercayai menyeludup keluar dadah dari Malaysia ke sebuah negara di Eropah."Siasatan mendapati setiap ‘keldai dadah’ dibayar dalam mata wang pound sterling dan euro, iaitu sekitar 5,000 pound sterling (RM30,000) serta antara 3,000 euro (RM15,000) hingga RM26,000 bagi setiap perjalanan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.Shazeli berkata, operasi tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, KLIA dan Sepang bersama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 28 dan 30 April lalu di sekitar KLIA serta sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang."Dalam serbuan pertama pada 28 April, pihak polis bantuan MAHB mengesan empat bagasi mencurigakan ketika melalui mesin imbasan di KLIA sebelum menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing di sekitar terminal tersebut."Pemeriksaan terhadap bagasi berkenaan menemukan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 67.2 kilogram. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5.4 juta," katanya.Beliau berkata, turut disita dalam serbuan itu ialah wang tunai pelbagai mata wang termasuk mata wang asing serta seutas jam tangan jenama Audemars Piguet yang dianggarkan bernilai RM80,000."Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif," katanya.Shazeli berkata, dalam serbuan kedua pada 30 April, pihak polis bantuan MAHB mengesan dua lagi bagasi mencurigakan sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun di KLIA."Pemeriksaan lanjut mendapati bagasi tersebut mengandungi 59 bungkusan plastik dadah jenis sama dengan anggaran berat 29.5 kilogram, melibatkan nilai rampasan kira-kira RM2.4 juta."Suspek turut didapati positif dadah dan direman bagi membantu siasatan di bawah seksyen sama," katanya.Beliau berkata, hasil risikan daripada tangkapan tersebut membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis kediaman di Kota Warisan yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sepang dan KLIA."Dalam operasi itu, dua lagi lelaki warga asing berusia 19 dan 25 tahun ditahan manakala empat bagasi yang diperiksa mengandungi 109 bungkusan plastik dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60 kilogram."Nilai rampasan bagi serbuan ketiga itu dianggarkan berjumlah RM4.8 juta dan kedua-dua suspek turut didapati positif dadah sebelum direman bagi siasatan lanjut," katanya.Shazeli berkata, secara keseluruhan, ketiga-tiga serbuan tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis bunga ganja seberat 156.7 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12.6 juta."Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan dipercayai menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah," katanya.Shazeli menegaskan kejayaan itu membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah yang masih aktif dan terancang, sekali gus memberi ancaman serius kepada masyarakat."Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran menjadi ‘keldai dadah’ yang menawarkan upah lumayan kerana perbuatan itu boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius," katanya.

Go to News Site