Collector
Isu penternakan babi bukan soal kaum, agama - PN Selangor | Collector
Isu penternakan babi bukan soal kaum, agama - PN Selangor
Sinar Harian

Isu penternakan babi bukan soal kaum, agama - PN Selangor

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan isu penternakan babi di negeri ini tidak wajar dipolemikkan sebagai isu perkauman atau agama sempit kerana ia melibatkan kepentingan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, penamatan aktiviti penternakan babi di Selangor tidak bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam mendapatkan bekalan daging babi.Menurut mereka, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri telah mencadangkan supaya bekalan daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini."Tiada agama, kaum, keturunan atau jantina yang didiskriminasikan sekiranya aktiviti penternakan babi dinoktahkan di Selangor."Tiada mana-mana pihak yang menoktahkan bekalan daging babi untuk keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Selangor pada Jumaat.Dalam masa sama, PN Selangor mendakwa terdapat pihak cuba meniup sentimen perkauman dan agama bagi mempolitikkan isu berkenaan.Menurut kenyataan itu, pendirian Sultan Selangor supaya aktiviti penternakan babi dihentikan sepenuhnya adalah berasaskan faktor pencemaran alam sekitar termasuk risiko terhadap sungai dan kawasan tadahan air.Jelas beliau, titah baginda juga telah dizahirkan beberapa kali termasuk ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor pada 20 April lalu."Titah Tuanku jelas dan sangat berhemah demi memastikan keharmonian serta keamanan rakyat Selangor terus terpelihara," jelas kenyataan itu.PN Selangor turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang didakwa gagal mengambil pendirian tegas bagi meredakan polemik berhubung isu terbabit.Selain itu, mereka turut mengkritik kenyataan pihak tertentu yang didakwa memberi gambaran aktiviti penternakan babi masih boleh diteruskan di Selangor sehingga mencetuskan reaksi rakyat di media sosial.Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan pihak istana terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan pada Khamis bagi menegaskan semula pendirian Sultan Selangor supaya isu penternakan babi dihentikan sepenuhnya."Seluruh kepimpinan Bersatu dan Pas Selangor akan terus mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan," jelas beliau.Dalam kenyataan sama, PN Selangor turut mendakwa ADUN mereka dikenakan tindakan ketika cuba membawa isu berkaitan titah Sultan Sharafuddin dalam persidangan DUN Selangor."Tiga ADUN PN dihalau keluar dan digantung daripada menghadiri sidang dewan, selain usul untuk merujuk ADUN Seri Kembangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri turut ditolak Speaker.Menurut kenyataan itu, tindakan itu dilihat mengekang peranan pembangkang dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang seperti disarankan Sultan Selangor."Mengapa Perikatan Nasional dihukum sedangkan kami hanya mempertahankan kewibawaan titah Tuanku Sultan? ujar kenyataan itu.Sinar Harian pada Khamis melaporkan Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

Go to News Site