Sinar Harian
SHAH ALAM – Dasar berkaitan import kenderaan elektrik (EV) perlu dilaksana secara seimbang bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara selain dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat global.Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, peraturan baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan import EV siap bina sepenuhnya (CBU) dilihat bercanggah dengan trend pembangunan tenaga baharu global."Walaupun kerajaan berniat baik dalam melindungi industri automotif tempatan, namun ia tidak patut mengorbankan daya saing pasaran tempatan dan kepentingan pengguna."Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas melindungi industri automotif negara tanpa menjejaskan kepentingan pengguna, maka dasar yang digubal perlu memastikan syarikat asing yang melabur di Malaysia turut membantu membangunkan industri dan ekonomi tempatan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Sebelum ini MITI dilapor menetapkan syarat baharu iaitu semua pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang dipasang siap di luar negara (CBU) tertakluk kepada dua syarat utama termasuk had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas mulai 1 Julai 2026.Antara syarat lain adalah nilai kos, insurans dan pengangkutan minimum sebanyak RM200,000.Dalam pada itu Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA menegaskan, pihaknya secara konsisten menyokong dasar pembangunan tenaga baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api serta mengurangkan beban subsidi negara.Bagaimanapun ujarnya, pasaran EV Malaysia masih di peringkat awal dan tindakan menyekat kemasukan EV mampu milik tidak selari dengan usaha menggalakkan penggunaannya dalam kalangan rakyat."Keadaan ini akan mengehadkan pilihan pengguna khususnya EV lingkungan harga RM100,000 hingga RM300,000 untuk golongan berpendapatan sederhana."Pada masa sama, kekurangan persaingan akan menyebabkan pengeluar tempatan tiada inisiatif untuk menurunkan harga dan akhirnya memaksa pengguna menanggung kos lebih tinggi," ujarnya.Beliau turut mencadangkan kerajaan menetapkan syarat kepada syarikat EV asing supaya meningkatkan kadar penglibatan tempatan termasuk penggunaan alat ganti, pembekal dan tenaga kerja tempatan.Secara tidak langsung katanya, langkah itu mampu memacu pembangunan ekosistem industri tempatan selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berteknologi tinggi kepada rakyat Malaysia."Malaysia juga tidak seharusnya hanya menjadi pasaran import dan jualan semata-mata. EV pemasangan tempatan (CKD) perlu dieksport ke luar negara agar negara mampu muncul sebagai hab pembuatan dan pengeksport EV serantau."Industri automotif tempatan tidak boleh terus bergantung kepada dasar perlindungan semata-mata, sebaliknya perlu meningkatkan daya saing, keupayaan teknologi, kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan untuk kekal relevan di pasaran antarabangsa," katanya.
Go to News Site