Sinar Harian
SHAH ALAM - Pengiktirafan Batik Air bagi Anugerah Pengalaman Perjalanan Premium, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026, mencerminkan kemajuan stabil syarikat penerbangan tersebut serta fokus berterusan dalam membentuk masa depan pengalaman perjalanan.Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, anugerah tersebut juga memperlihat usaha berterusan Batik Air dalam memperkukuh pengalaman perjalanan penumpang secara menyeluruh, bermula daripada proses tempahan dan daftar masuk sehingga kepada penyampaian perkhidmatan dalam penerbangan serta jaringan sambungan destinasi yang ditawarkan.Menurutnya, ia turut meletakkan Batik Air dalam kalangan organisasi yang diiktiraf kerana memperkasakan standard perkhidmatan dalam sektor penerbangan, khususnya dalam menawarkan pengalaman perjalanan premium yang lebih konsisten."Pengiktirafan ini mengesahkan kemajuan yang sedang kami capai sebagai sebuah organisasi dan mengukuhkan hala tuju kami pada masa hadapan."Prinsip utama pendekatan kami adalah mudah iaitu melayan setiap penumpang sebagaimana kami sendiri ingin dilayan."Prinsip ini terus menjadi panduan dalam usaha meningkatkan standard perkhidmatan, memperkukuh kebolehpercayaan serta membina pengalaman perjalanan yang lebih konsisten, prihatin dan berteraskan pelanggan untuk masa depan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Dianjurkan oleh Sinar Harian, BISA 2026 memberi pengiktirafan kepada lebih 30 usahawan dan syarikat daripada pelbagai sektor yang menunjukkan prestasi kukuh, daya tahan serta sumbangan bermakna dalam industri masing-masing.Anugerah tersebut juga menjadi penanda aras kecemerlangan kepada organisasi yang terus meningkatkan standard dalam aspek perkhidmatan dan operasi.Sementara itu, Chandran berkata, Batik Air turut mencatat prestasi operasi yang lebih kukuh pada April 2026 dengan merekodkan prestasi ketepatan masa keseluruhan (OTP) sebanyak 81 peratus, manakala operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan OTP memberangsangkan sebanyak 84 peratus."Pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding suku pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan momentum positif dalam prestasi operasi dan kebolehpercayaan jadual penerbangan syarikat."Trend peningkatan yang konsisten itu turut membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif berterusan dalam mempertingkat penyelarasan penerbangan, mengoptimumkan kecekapan pusing ganti pesawat serta memperkukuh perancangan operasi di seluruh rangkaian penerbangan," katanya.Sehubungan itu, Batik Air akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat tawaran perkhidmatan dan kebolehpercayaan operasi secara seiring sebagai sebahagian daripada komitmen lebih luas untuk menambah baik pengalaman pelanggan serta memperkukuh prestasi keseluruhan rangkaian penerbangannya.
Go to News Site