Sinar Harian
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Istana Bukit Kayangan pada Jumaat.Pertemuan itu dikongsikan menerusi Facebook Selangor Royal Office, manakala Fahmi dalam hantaran di Threads memaklumkan sesi menghadap tersebut bagi menerima sembah maklum berhubung laporan penurunan akaun palsu melibatkan kerabat diraja di media sosial dalam tempoh Januari hingga April 2026.Fahmi menambah, sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat diraja dikenal pasti hasil pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aduan awam diterima.Beliau berkata, jumlah itu termasuk akaun palsu yang menggunakan nama Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin."Susulan itu, tindakan permohonan penurunan telah dilaksanakan dan sehingga kini, penyedia platform media sosial telah menurunkan sebanyak 14,750 akaun berkenaan," katanya.Dalam sesi menghadap itu, Fahmi berkata, baginda turut disembah maklum mengenai pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik atau e-KYC sebagai usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan keluarga dalam persekitaran digital.Katanya, beliau turut menjunjung kasih atas pandangan, titah dan nasihat baginda berkaitan pelbagai isu semasa termasuk penyalahgunaan platform dalam talian serta isu 3R yang semakin membimbangkan."Patik juga mengambil maklum atas kebimbangan dan kegusaran Tuanku terhadap pelbagai isu semasa yang berlegar di media sosial dan kaedah yang digunakan oleh pihak berwajib untuk menanganinya," kongsinya lagi.
Go to News Site