Sinar Harian
PUTRAJAYA – Pas mempersoalkan tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa parti itu mempunyai 'DNA pengkhianat', sebaliknya menyifatkan UMNO sendiri bertindak mengkhianati kerjasama politik sebelum ini.Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau masih tertanya-tanya bentuk pengkhianatan yang sering dikaitkan dengan Pas sedangkan beberapa episod politik lalu menunjukkan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN)."Dia (Ahmad Zahid) langgar sumpah macam mana pula? Langgar keputusan Majlis Tertinggi UMNO (No Anwar No DAP)."Saya pun nak tahu apa pengkhianatan yang sering diulang itu. Sebab sepanjang pembentukan kerajaan lalu kita dapati UMNO yang khianat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid.Menurut beliau, antara contoh jelas ialah tindakan UMNO di Johor, Melaka dan Perak yang menarik sokongan terhadap menteri besar daripada PN walaupun ketika itu kerajaan dibentuk secara bersama."Begitu juga siapa yang khianat sehingga tarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri," soalnya.Meskipun begitu, Tuan Ibrahim berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap mengingatkan mengenai kepentingan penyatuan umat Islam dan Melayu demi masa depan negara."Presiden ingatkan keperluan umat ini bersatu kerana melihat kepentingan bangsa pada masa hadapan."Bagaimanapun terpulang kepada semua pihak. Kami sedia kalau nak berkawan dan lebih bersedia kalau hendak berlawan," katanya.Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan, UMNO tidak akan kembali menjalin kerjasama dengan Pas sekiranya parti itu masih tidak mengubah sikap khianat mereka.
Go to News Site