Collector
'Ma jangan marah... saya hendak mati dah' | Collector
'Ma jangan marah... saya hendak mati dah'
Sinar Harian

'Ma jangan marah... saya hendak mati dah'

PASIR PUTEH - "Ma jangan marah... saya hendak mati dah."Demikian luahan terakhir Mohammad Yusof Nor Ismail, 12, yang masih terngiang-ngiang di telinga ibunya, Nurul Anis Abdul Rahman, 36, selepas kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di atas ribanya pada Jumaat.Menurut ibu kepada lima anak itu, dia tidak mampu menahan sebak melihat anak sulungnya menanggung kesakitan selepas dihempap tiang konkrit ketika bermain berhampiran rumah mereka di Kampung Telaga Papan, Semerak di sini."Mohammad jangan tinggal ma...saya menangis tanpa henti sambil memangku dan memeluk dia yang ketika itu berada dalam keadaan lemah," katanya mengingat kembali saat-saat terakhir bersama anaknya itu ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Tengku Anis di sini pada Sabtu.Menurut suri rumah itu, dia cuba beberapa kali mengangkat tiang konkrit berkenaan untuk menyelamatkan Mohamad Yusof serta adik iparnya, Muhammad Yunus Nasir, 12, namun gagal kerana terlalu berat."Saya kemudian berlari kira-kira 100 meter untuk meminta bantuan penduduk kampung berhampiran."Dengan bantuan kira-kira tujuh penduduk kampung, tiang konkrit itu berjaya diangkat, namun Mohammad Yusof ketika itu sudah terlalu lemah manakala Muhammad Yunus cedera," katanya.Menceritakan kembali kejadian terbabit, Nurul Anis memberitahu, tragedi itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika kedua-dua kanak-kanak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual itu bermain menggali pasir berhampiran bekas tapak rumah lama di kawasan berpasir.Katanya, Mohammad Yusof dan Muhammad Yunus yang merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu sedang leka bermain sebelum tiang konkrit tersebut tiba-tiba menghempap mereka.Ujar dia, Mohammad Yusof sempat menjerit meminta adiknya, Siti Nur Amyliana, 10, memanggilnya yang berada di dalam rumah."Apabila diberitahu mengenai kejadian itu, saya terus berlari ke lokasi dan cuba mengangkat tiang konkrit tersebut, namun tidak berdaya," katanya.Menurut dia, Mohammad Yusof disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat.Sementara itu tambahnya, Muhammad Yunus yang mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk menerima rawatan lanjut.Ujar Nurul Anis, Muhammad Yunus merupakan adik bongsu kepada suaminya, Nor Ismail, 51, yang mempunyai lapan adik-beradik dan tinggal bersama mereka sekeluarga.Menurutnya, jenazah anak sulungnya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Berangan selepas urusan bedah siasat selesai.Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut, manakala bapa saudaranya mengalami cedera selepas dipercayai dihempap tiang konkrit ketika bermain pasir berhampiran rumah mereka di Kampung Telaga Papan, Semerak di sini pada Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bapa saudaranya, Muhammad Yunus Nasir, juga berusia 12 tahun dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Go to News Site