Sinar Harian
MARAN - Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 12 di sini pada Jumaat malam.Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Arif Danial Ramli, 23, dan Mohamad Ali Mohamed Saat, 31.Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati, nahas berlaku ketika mangsa menaiki kereta Perodua Axia dari arah Jengka 13 menghala ke Bandar Pusat Jengka."Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang."Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau memberitahu, pemandu yang bekerja sebagai pemandu jentera berat manakala rakannya merupakan pengawal keselamatan sekolah."Kedua-dua mangsa dipercayai rakan dan berasal dari Jengka 11 serta Jengka 22," katanyaBeliau menambah, setakat ini tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan dan mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasatmJelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Inspektor Norhafizul Abd Halim di talian 010-5752075 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Go to News Site