Collector
Penipuan badal haji: JAWHAR sedia main peranan | Collector
Penipuan badal haji: JAWHAR sedia main peranan
Sinar Harian

Penipuan badal haji: JAWHAR sedia main peranan

PUTRAJAYA – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersedia menjadi penggerak utama bagi menyelaras urusan berkaitan badal haji sekiranya diberikan mandat dan kuasa oleh kerajaan.Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, JAWHAR kini sedang bergerak ke arah mewujudkan mekanisme penyelarasan susulan peningkatan isu penipuan membabitkan badal haji dan umrah."Kita sedang bergerak ke arah itu. Kalau diberikan mandat dan kuasa, insya-ALLAH, JAWHAR bersedia menjadi penggerak untuk menyelaras perkara ini," katanya dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.Mohd Zaidi berkata demikian mengulas mengenai penipuan badal haji yang menjadi laporan muka depan Sinar Harian Selasa lalu.Terdahulu, akhbar ini mendedahkan kos sebenar untuk menunaikan badal haji adalah lebih RM10,000 dan sebarang pengiklanan di bawah paras itu diragui.Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran harga yang murah dan dibimbangi menjejaskan kesahihan ibadah itu.Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, ketika ini isu badal haji berada dalam grey area kerana tidak terdapat satu agensi khusus yang mempunyai kuasa penuh menyelia dan menguatkuasakan perkara berkenaan.Bidang kuasa berkaitan urusan itu ketika ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa tempatan."Punca kuasa ini berada pada pelbagai agensi. Jadi yang penting sekarang ialah penyelarasan tindakan, itu paling cepat," jelasnya.Beliau berkata, masyarakat selama ini lebih melihat badal haji daripada sudut hukum semata-mata sedangkan aspek pengurusan dan pentadbiran ibadah itu jauh lebih kompleks.Menurutnya, individu yang melaksanakan badal haji masih tertakluk kepada kuota haji, visa, tiket penerbangan serta tasreh iaitu permit khas Arab Saudi."Kalau orang yang nak buat badal haji bagi pihak keluarga kita, dia masih kena ada kuota haji. Kuota itu diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji."Dia juga kena ada visa, tiket dan kosnya sama macam orang pergi haji biasa," katanya.Mohd Zaidi berkata, rakyat tempatan Arab Saudi sendiri perlu mendapatkan tasreh untuk menunaikan haji dan permit itu boleh mencecah sehingga 10,000 riyal.Katanya, selepas seseorang itu menunaikan haji, individu berkenaan hanya dibenarkan mengerjakan ibadah tersebut semula selepas lima tahun."Jadi kalau ada tawaran badal haji RM3,000, itu memang tidak munasabah," katanya.Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi kini memperketat penguatkuasaan terhadap individu yang menunaikan haji tanpa permit termasuk mengenakan denda tinggi, hukuman penjara dan larangan memasuki negara itu sehingga 10 tahun.Menurut Mohd Zaidi, faktor emosi dan sentimen agama menyebabkan ramai mudah terpedaya dengan tawaran badal haji yang dipromosikan di media sosial."Mereka manipulasi emosi orang yang mahu berbakti kepada ibu bapa atau keluarga yang sudah meninggal dunia."Orang jadi sentimental dan mudah percaya. Beri sijil, air zam-zam itu sebahagian taktik untuk meyakinkan mangsa, " katanya.Beliau turut menegur penggunaan selebriti dan pempengaruh bagi mempromosikan pakej badal haji yang meragukan."Saya gunakan istilah mudah. Anda percaya, anda terpedaya," kata beliau.

Go to News Site