Sinar Harian
GUA MUSANG - Seorang warga emas yang bekerja sebagai pemandu lori maut dipercayai tercampak selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggangi remaja 17 tahun ketika melintas jalan di kilometer 41 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Mat Zaki Jusoh, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan terbabit berlaku ketika seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal dari arah Paloh menghala ke Gua Musang."Setibanya di lokasi pemandu lori terbabit sedang melintas untuk pergi ke lori miliknya yang dipakir di seberang jalan."Dipercayai motosikal ditunggang remaja terbabit telah melanggar warga emas itu. Akibat dari pertembungan tersebut pemandu lori tercampak dan maut di lokasi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Foresik di Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Beliau memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang melihat kejadian berlaku atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9121222.
Go to News Site